Salam sejahtera kepadamu wahai Nabi Muhammad dan juga rahmat serta berkat-Nya, Salam sejahtera kepada kami dan sekalian hamba Allah yang soleh

Kempen Sosial A3manulna3m

Kempen Sosial A3manulna3m

Thursday, December 31, 2009

Terengganu Dan Kelantan, Serupa Tetapi Tak Sama

Terengganu dan Kelantan merupakan dua buah negeri yang terletak di pantai timur Tanah Melayu. Negeri ini merupakan negeri yang benar-benar menghadap pantai timur tidak seperti Pahang dimana sebahagian besar negeri tersebut menghadap pantai barat Tanah Melayu. Maka, negeri Terengganu dan Kelantan mempunyai banyak persamaan yang ketara, tidak kurang juga perbezaan yang ketara.


Dari sudut bahasa, banyak istilah dikongsi bersama walaupun cara sebutan yang agak berlainan. Bahkan, dari sudut budaya dan makanan tradisional, dua negeri ini tetap berkongsi. Dari sudut pembinaan tradisional dan pembuatan kayu, kedua-dua negeri ini mempunyai persamaan walaupun terdapat sedikit perbezaan yang tidak ketara.

Maka, bolehlah dianggap bahawa kedua-dua negeri ini seolah-olah adik beradik kembar, sama tetapi tidak serupa. Walaupun penduduk Kelantan dianggap lebih konservatif daripada Terengganu, itu bukanlah menjadi satu tajuk utama dalam memisahkan pemahaman antara dua negeri terbabit.

Pelbagai isu sama ada dari politik, sosial dan budaya juga dikongsi bersama. Tidaklah perlu diterangkan isu-isu tersebut kerana hamba tidak mahu menyentuh sensitiviti sesetengah pihak.

Akhir kata, kepada warga kedua-dua negeri ini, hamba menyeru agar marilah sama-sama kita bersatu. Kadangkala, terdapat juga isu yang menyebabkan kedua-dua negeri ini berselisih faham, tetapi lupakan persengketaan dan ingatlah tentang persamaan yang dikongsi bersama.

Sunday, December 27, 2009

Sebilangan Masyarakat Terengganu Yang............

Muqaddimah

Terengganu telahpun dibuktikan menjadi salah sebuah negeri awal yang mempunyai tamadun yang tersendiri yang bermula dari kerajaan purba Fo-Lo-An, bukti kedatangan islam melalui penemuan batu bersurat, hinggalah penubuhan kerajaan Kesultanan Melayu Terengganu pada 1708. Pelbagai kejayaan ketamadunan dicapai oleh masyarakat Terengganu sehinggakan budaya, bahasa dan pelbagai sudut ketamadunan Terengganu mencapai tahap keistimewaannya tersendiri.

Umum mengetahui bahawa Terengganu digelar dengan gelaran Darul Iman sejak zaman-berzaman. Dahulunya, Terengganu juga digelar dengan Darussalam kerana keamanan dan kemajuan dalam bidang material dan rohani yang seiring dengan zaman. Maka, banyaklah pengaruh Islam meresap ke dalam jati diri masyarakat Terengganu sehinggakan Abdullah Munsyi menyatakan bahawa penduduk Terengganu lebih fasih berbahasa Arab dan nahu bacaan Al-Quran masyarakat Terengganu lebih baik dari masyarakat negeri-negeri lain.

Kini, setelah beratus tahun berlalu, lebih kurang 700 tahun setelah batu bersurat diukir di Kampung Buluh, banyak kemusnahan identiti Terengganu berlaku. Yang jelas kelihatan kini, adalah penggantian masjid. Banyak masjid lama dirobohkan dan digantikan dengan masjid baru. Yang hairannya, sebilangan masyarakat jemaah masjid menyokong situasi ini tanpa sedar bahawa tidak semua situasi berkenaan adalah situasi yang baik.

Bab 1: Masjid Raja Chendering, Kuala Terengganu

Masjid yang berusia ratusan tahun ini dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid yang lebih besar dan cantik. AJK masjid menyokong penuh perobohan ini dengan memberi alasan bahawa jemaah di sekitarnya semakin meningkat. Namun, apa yang dikesalkan adalah nilai tradisi dan imej tamadun Islam Terengganu tercalar. Cuba kita fikirkan, jika masyarakat Turki boleh berbangga dengan Masjid Biru, masyarakat Indonesia boleh berbangga dengan Masjid Agung Demak dan masyarakat Mali boleh berbangga dengan Masjid Djenne yang jika difikirkan jauh lebih usang dari Masjid Raja Chendering ini, apa yang masyarakat Terengganu boleh banggakan?? Mana bangunan yang terbina dengan teknologi tamadun Terengganu yang berusia ratusan tahun. Walau bagaimanapun, tahniah kepada mereka yang menyokong kerana masjid tersebut telah diruntuhkan juga akhirnya.

Bab 2: Masjid Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu

Masjid yang dibina oleh penduduk kampung sejak zaman dahulu kala ini terkenal suatu ketika dahulu kerana bentuknya yang panjang. Mengikut kata penduduk, keadaan masjid tersebut adalah kerana setiap pendakwah yang ingin mengajar perlu membina ruangan mengajar dan menyambung binaan masjid tersebut. Akhirnya, muncullah bentuk Masjid Surau Panjang yang unik tersebut. Tidak mahu mengulas panjang, akhirnya pada tahun 2006, masjid tersebut diruntuhkan dan diganti dengan masjid binaan konkrit yang kelihatan sama dengan masjid-masjid lain, tiada lagi keunikan dan warisan serta satu-satunya wasiat masyarakat kampung tersebut yang telah meninggal dunia. Putuslah amalan dan pahala mereka bila binaan lama tersebut dirobohkan, termasuklah mimbar masjid asal.

Bab 3: Masjid Raja Bukit Besar, Kuala Terengganu


Masjid ini pernah digemparkan kerana kehadiran sebatang pokok yang dikatakan "menangis". Projek merobohkan masjid ini mendapat tentangan penduduk di sekitarnya dengan alasan mereka bersetuju jika masjid tersebut dibaikpulih dan diperbesarkan, bukan dengan merobohkannya. Namun, masjid tersebut telah dirobohkan dan pembinaan masjid baru telah dilaksanakan walaupun usia masjid tersebut hampir mencapai 100 tahun. Maka, amalan datuk dan nenek moyang kita yang menyumbang tenaga dan bahan ke arah pembinaan masjid ini terputus. Nantikan di akhirat bila mereka bertanya mengapa kita memutuskan pahala mereka.

Bab 4: Masjid Kampung Gelugor Raja, Kuala Terengganu

Usia masjid ini belum dipastikan, namun masjid ini memang salah sebuah masjid lama memandangan bentuk masjid tersebut masih mempunyai bumbung Rumah Bujang, iaitu rekaan rumah tradisional Melayu Terengganu. Tahniah kepada penduduk kampung ini kerana mengorbankan satu lagi warisan Melayu kerana apa yang diketahui, penduduk tidak memberikan respon apabila cadangan merobohkannya dikeutarakan. Maka, sedihlah penghuni di tanah perkuburan di kampung tersebut kerana hasil usaha mereka ratusan tahun dahulu dimusnahkan begitu sahaja atas nama pembangunan.


Akhir kata, kita sering berbangga dengan tamadun orang lain dan senibina orang lain sedangkan kita menyembelih identiti dan budaya kita sendiri... Layakkah kita bergelar bangsa Melayu?? Mereka yang menolak budaya adalah mereka yang bodoh dan inilah yang berlaku hari ini.... Inilah sebilangan daripada mereka yang bodoh.

Saturday, December 26, 2009

Haji Abdul Rahman Limbong / Tok Limbong

كيساه هيدوڤ حاج عبدالرحمن ليمبوڠ اتاو توق ليمبوڠ
KISAH HIDUP HAJI ABDUL RAHMAN LIMBONG / TOK LIMBONG


Nama lengkap beliau ialah Haji Abdul Rahman Limbong bin Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Kadir. Dilahirkan di Kampung Jenguk Tong, Beladau Kolam, Kuala Terengganu pada tahun 1285H atau 1868M dan meninggal dunia di Mekah, pada tahun 1347H atau 1929M. Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu. Haji Abdul Rahman Limbong juga seperti gurunya Tok Ku Paloh, iaitu seorang sufi pengamal Tarekat Sammaniyah. Sungguhpun beliau merupakan seorang sufi, namun beliau tahu selok-belok hal keduniaan. Ini dapat dibuktikan dengan berkali-kali beliau berhujah di mahkamah kerana membela rakyat yang disaman pihak British.

Di mahkamah, lisannya fasih berkata-kata membela kebenaran yang bersandarkan kepada perintah Allah SWT dan Rasul-Nya, bukannya membela undang-undang ciptaan manusia. Di gelanggang medan laga, beliau pandai bermain senjata. Hidup ini tiada sesuatupun yang ditakutinya melainkan kemurkaan Allah SWT kerana melanggar peruntah Allah dan Rasul-Nya.

Haji Abdul Rahman mendapat pendidikan asas di Mekah semasa kecil. Ketika pulang ke Terengganu, beliau mendapat pendidikan dari Haji Ya’qub dan Haji Musa yang tinggal di Paya Bunga. Oleh itu, Haji Abdul Rahman Limbong menjadi tokoh perjuangan Terengganu beserta tokoh ulama Terengganu.

Beliau sering berulang-alik antara Kuala Telemong, Beladau Kolam, Pulau Bahagia, Chukai dan Limbong di Terengganu dengan Balok dan Chenor di Pahang. Beliau juga sering mengembara di Alam Melayu. Antaranya, Kelantan, Patani, Kedah, Sambas, Jambi, Riau dan Brunei. Di negeri-negeri seberang laut ini terdapat murid-murid Haji Abdul Rahman Limbong.

Pengembaraan beliau amat panjang tetapi dapatlah disimpulkan tentang pelayaran beliau ke Sambas dan Kepulauan Riau sahaja. Dalam perlayaran di laut, beliau menggunakan kapal buatan Terengganu yang lebih dikenali sebagai Perahu Besar. Perahu-perahu tersebut boleh menampung kapasiti antara 100 hingga 350 tan.

Di antara tempat-tempat yang ramai dihuni oleh orang-orang dari Terengganu di Kepulauan Riau yang dikenalpasti adalah Kuala Maras dalam Kepulauan Jemaja, Kepulauan Siantan dan Pulau Midai. Di Sambas pula ialah di Kampung Dungun di Kecamatan Sentebang. Nama Dungun itu diberi oleh orang Terengganu dan kekal hingga sekarang. Dicatatkan bahawa pembinaan sebuah masjid di Sabang Barat, Pulau Midai yang bahan utamanya adalah kayu cengal yang dibawa dari Terengganu. Bahan-bahan siap dibina dan hanya dipasang sahaja di Pulau Midai. Namun, pada tahun 1969, masjid tersebut diruntuhkan diganti dengan binaan baru. Yang tinggal, hanyalah mimbar yang juga berasal dari Terengganu.

Haji Abdul Rahman Limbong pernah singgah di semua pulau yang disebutkan termasuklah Pulau Tujuh di Pulau Midai. Sepanjang tahun 1920 hingga 1928 terjadi gerakan Haji Abdul Rahman Limbong dan rakyat tani di Hulu Terengganu menentang British. British dengan liciknya mendakwa Haji Abdul Rahman Limbong menderhaka. Akhirnya, Haji Abdul Rahman Limbong ditangkap dan dibuang negeri ke Singapura dan seterusnya dibuang ke Mekah. Setahun kemudian (1929M) beliau meninggal dunia.

Semasa Pemberontakan Tani, Haji Abdul Rahman Limbong dan penduduk setempat di Hulu Terengganu berasa marah akibat campur tangan British dalam hal ehwal negeri terutamanya peraturan cukai kerana membuka tanah yang dianggap beban dan bertentangan dengan falsafah penduduk bahawa tanah adalah hak milik Allah SWT dan bukannya milik pemerintah British.

Semasa peristiwa Padang Kachong, 12 orang kampung gugur dalam memperjuangkan hak bangsa dan agama. Tok Limbong disabitkan bersubahat menderhaka dan dibuang negeri.

Padang Kachung, Kuala Telemong. Tempat Pertempuran Tentera British dan Penduduk Kampung

Makam Pahlawan di Perkarangan Masjid Kuala Telemong

Teaser Filem 2012

Filem 2012 sudahpun dianggap suam-suam kuku. Setelah ramai yang yang menontonnya, memang ia tersenarai antara salah satu fiksyen orang barat. Namun, setelah melihat beberapa gambar yang menggunakan teknik 'superimpose', hamba terfikir bahawa hamba juga boleh membuat teaser filem ini menggunakan latar belakang budaya Terengganu. Saksikanlah:

Saturday, December 12, 2009

Fakta Demografi Terengganu

Terengganu Darul Iman merupakan negeri yang terletak di antara Kelantan dan Pahang. Ibu negerinya adalah Kuala Terengganu dengan dua bandar utama iaitu Chukai dan Kuala Dungun. Kuala Terengganu mendapat status bandar pada 1978 dan status bandaraya pada 2008. Manakala, Chukai mendapat status majlis perbandaran pada 2002 dan Kuala Dungun pada 2008.
Kini, dengan peningkatan status perbandaran negeri Terengganu ini, penduduk negeri Terengganu juga terus meningkat. Namun, jika dibandingkan Terengganu dulu dan kini, kadar peningkatan penduduk di negeri Terengganu agak perlahan berbanding di Kelantan dan Pahang.
Peratusan kadar pertambahan jumlah penduduk di antara Kuala Terengganu, Kuantan dan Kota Bharu
Peratusan ini agak mengejutkan memandangkan Kuala Terengganu mendapat status bandaraya terlebih dahulu sedangkan jumlah penduduk di Kota Bharu dan Kuantan jauh lebih tinggi. Namun, mungkin pemberian status bandaraya tidak bergantung hanya kepada jumlah penduduk sedangkan kita diwahamkan bahawa pengiktirafan bandaraya di peringkat antarabangsa bergantung kepada jumlah tersebut.
Kadar peningkatan penduduk di Kuala Terengganu agak perlahan jika dibandingkan dengan Chukai, Kemaman. Jumlah penduduk Chukai meningkat agak ketara berbanding Kuala Terengganu dalam jangkamasa 29 tahun ini.
Perbandingan pertumbuhan penduduk antara Kuala Terengganu dan Chukai
Terengganu juga mempunyai peratusan penduduk yang tinggal di bandar agak tinggi berbanding negeri-negeri lain. Ini membuktikan bahawa proses perbandaran lebih berkesan di negeri Terengganu berbanding negeri-negeri lain di Pantai Timur ini. Walaupun tahap pembangunan negeri Terengganu agak rendah, namum proses perbandaran lebih berkesan kepada rakyat Terengganu.
Peratusan penduduk yang tinggal di bandar dan luar bandar

Perbandingan tanah menunjukkan negeri Terengganu mempunyai tanah yang kurang berbanding negeri lain di Pantai Timur.
Perbandingan tanah antara Terengganu, Kelantan dan Pahang
Dari sudut pembahagian kaum, Pantai Timur mempunyai jumlah penduduk bumiputera yang tinggi berbanding bahagian lain di Tanah Melayu dan Terengganu mempunyai penduduk bumiputera yang tinggi berbanding Kelantan dan Pahang.
Jumlah penduduk bumiputera dan bukan bumiputera di Tanah Melayu
Jumlah penduduk Melayu, Cina dan India di Terengganu, Kelantan dan Pahang
Peranan negeri Terengganu amat revelan. Contoh peranan negeri Terengganu dalam Malaysia adalah jelas terutamanya dalam penghasilan tenaga. Tenaga yang dihasilkan melalui loji janakuasa yang terletak di Terengganu jelas menunjukkan bahawa Terengganu merupakan negeri yang menghasilkan tenaga yang paling banyak di Tanah Melayu.
Perbandingan jumlah penghasilan tenaga di Tanah Melayu
Kesimpulannya, warga Terengganu patut berbangga menjadi rakyat Terengganu walaupun terdapat pelbagai kekurangan dan kelebihan yang terdapat pada Terengganu. Semoga info ini menjadikan kita rakyat Terengganu yang lebih berjaya.


Friday, December 11, 2009

Adab Mendidik Kanak-kanak

Pada zaman sekarang ini, telah banyak perkara yang jelik berlaku di dalam masyarakat Melayu di Tanah Melayu ini. Bermula dengan buang anak sehinggalah kepada mendera anak, semuanya sudah mempunyai juaranya tersendiri, seolah-olah ianya adalah satu pertandingan yang perlu dilaksanakan dalam masyarakat. Namun, kita juga begitu mudah melepaskan perhatian kita kepada adab-adab mendidik anak.
Tidaklah dinafikan, kita sering mendengar ungkapan bahawa anak itu umpama kain putih, dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Memang ungkapan itu ada kebenarannya tetapi ada sesuatu perkara asas yang perlu bagi mereka yang ingin mempunyai sifat keibu bapaan yang sering diabaikan iaitu keihklasan.
Pemberi ilham dari rasa kasih dan sayang, Eric Aiman Bin Eddy. Sumber istilah "a3manulna3m"
Keikhlasan itu tidaklah disimpan dan dipahat di dalam hati tetapi hendaklah dizahirkan melalui ungkapan kata. Kadangkala ada yang bertanya bagaimana untuk menzahirkan keihklasan itu dan jawapannya adalah melalui adab dan budi bahasa yang baik. Gunakanlah ungkapan yang baik dalam menjaga anak dan menasihati malahan juga ketika memarahinya. Sesungguhnya kata-kata ibu bapa itu adalah doa kepada anak mereka. Kadangkala ada ibu bapa berfikir mengapa anak-anak mereka boleh menderhakai mereka walaupun cara didikan yang cemerlang telah dipamerkan dalam usaha membesarkan mereka. Mereka boleh meneliti melalui perkataan mereka sama ada mereka ada terlepas cakap ketika marah ataupun berkecil hati dengan karenah anak mereka.
Oleh itu, berbahasalah dengan anak dengan penuh hikmah kerana anak akan mengukur tahap keikhlasan ibu bapa melalui lafaz kata mereka. Didiklah dengan cara yang terbaik dan berserahlah kepada Allah SWT.
Wallahualam Bissawab

Wednesday, December 2, 2009

MELETAKKAN KEMARAHAN BUKAN PADA HAKNYA


Kadangkala, kita terfikir, mengapa sesetengah orang mempunyai sesuatu yang boleh membangkitkan kemarahannya sedangkan ianya tidak menjadi perkara yang sensitif bagi orang lain. Kadangkala, perkara yang dibangkitkan juga bukan perkara yang menjadi hak istimewa orang lain.
Hamba mengalami masalah seperti ini, kadangkala perkara itu ‘terbangkit’ tanpa sengaja disebabkan kepetahan mulut ini, namun menjadi sumbu kemarahan bagi pihak tertentu. Tanpa diduga, untaian demi untaian kata yang ‘terhambur’ dari pihak tertentu menjadi punca kemarahan hamba.
Sumbu kemarahan hamba tersambar api kerana bagi akal dan hati waras hamba, pihak terbabit meletakkan kemarahannya bukan pada haknya, kerana pihak terbabit menerima ‘minyak tanah’ dari pihak lain yang memang secara sukarela ingin mencari keseronokan sementara dengan mengetawakan gelagat manusia yang dicerca tetapi yang dimarahinya hamba kerana tersilap menyusun kata tanpa berniat jahat.
Namun, pihak terbabit tetap ingin menyebelahi pihak yang menyalakan api kemarahannya. Mengapa? Wallahu alam, mungkin fitrah semulajadi mereka sedemikian. Namun, api kemarahan hamba yang tiba-tiba ternyala ini mungkin sukar untuk dipadam kerana bagi hamba, banyak perkara tiba-tiba mencurah masuk.
Hamba sedang menghadapi dilema antara saudara-saudara yang ingin menuntut hak ke atas objek fizikal yang ditinggalkan oleh mereka yang sudah menghadap Ilahi. Kerana inilah, hamba telah memohon cuti selama seminggu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Ditambah pula dengan masalah rohani yang dihadapi oleh sebilangan saudara-saudara hamba yang lain sehinggakan melibatkan hamba dalam usaha menolak dan menghalang gangguan spiritual yang melanda mereka sedangkan pada masa yang sama mereka juga menolak sebarang cadangan dari pihak hamba.
Hamba sedang penuh masalah sehinggakan untuk bangkit dari tempat berehat untuk menghadapi masalah tersebut terasa malas. Ingin menyambung mimpi walaupun untuk masa yang tak pasti. Buat masa kini, hamba telah menutup talian untuk sesiapa yang mahu menghubungi hamba. Mungkin ini akan mengundang masalah tetapi biarlah masalah itu datang kemudian kerana hamba ini menghadapi beberapa gugusan masalah besar.
Mungkin hamba akan memutuskan beberapa hubungan dengan sahabat-sahabat hamba kerana hamba sudah hilang pertimbangan dan bimbang akan menzalimi mereka pula.
Wallahu Alam Bissawab
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...