Salam sejahtera kepadamu wahai Nabi Muhammad dan juga rahmat serta berkat-Nya, Salam sejahtera kepada kami dan sekalian hamba Allah yang soleh

Kempen Sosial A3manulna3m

Kempen Sosial A3manulna3m

Tuesday, August 10, 2010

Syahadah | شهادة

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله وحده والصلاة والسلام على من لانبي بعد

Adapun, Fardhu Syahadah itu dua perkara:
  1. Ikrarkan dengan lidah.
  2. Tashdiq dengan hati.

Selamat mengerjakan Ibadah Puasa


اهلا وسهلا يا رمضان المبارك

سموڬا سموا عمالن كيت دبركاتي الله تعالى

Monday, April 26, 2010

Kuala Terengganu, Pusat Ekonomi Tradisional

Umum mengetahui peranan Kuala Terengganu sebagai pusat pentadbiran negeri dan pusat ekonomi tradisional walaupun Chukai lebih dominan dalam perkembangan ekonomi moden terutamanya dalam industri pembuatan serta petroleum dan gas.

Sekitar tapak asas Kuala Terengganu, terdapat empat pusat ekonomi masyarakat setempat sehingga akhir tahun 1960-an iaitu, Pasar Ladang, Pasar Tanjung, Pasar Kedai Payang dan Pasar Kedai Binjai. Pasar Tanjung merupakan pasar yang terbesar dengan menempatkan pelbagai hasil negeri memandangkan kedudukannya yang terletak berhadapan dengan muka kuala Sungai Terengganu berbanding pasar yang lain.

Friday, April 23, 2010

Islam Di Bumi Terengganu Darul Iman

Assalamualaikum kepada semua pembaca Laman Hikmah ini, hamba ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak memaparkan berita tentang kebudayaan Terengganu, lebih sebulan rasanya. Namun, disebalik kekangan masa yang hamba hadapi, hamba telah diberi keizinan oleh-Nya untuk menulis info mengenai negeri Terengganu Darul Iman ini.

Sepertimana tajuk info kali ini, hamba akan memaparkan mengenai sejarah kedatangan Islam ke Terengganu dan fakta-fakta mengenainya, untuk renungan kita bersama.

Monday, February 15, 2010

Mengabang, bentuk mukabumi unik Terengganu

Masyarakat Terengganu sudah maklum tentang kewujudan tempat yang bermula dengan 'mengabang' seperti nama Mengabang Telipot, Mengabang Lekor, Mengabang Tengah, Ladang Mengabang dan juga Mengabang Telong. Banyak istilah kampung dan tempat yang bermula dengan istilah ini.

Namun ramaikah antara kita yang mengetahui apa makna mengabang itu? Hamba telah ditanya dengan soalan ini dengan sahabat hamba sehingga menyebabkan hamba tergerak hati untuk bertemu dengan masyarakat asli Terengganu untuk bertanyakan hal berkenaan.

Friday, February 5, 2010

Malam Jumaat di Kuala Terengganu, saksi keruntuhan akhlak

Semalam ada seorang sahabat baru hamba mengajak hamba keluar ke Bandaraya Kuala Terengganu. Setelah selesai solat Isyak dan membuat sedikit kerja, hamba keluar rumah pada pukul 11.30 malam. Setelah itu, hamba menemui sahabat hamba di kedainya di sekitar pinggir Bandaraya Kuala Terengganu.

Kemudian hamba mulai meninjau kemeriahan malam Jumaat di seluruh bandaraya. Dihiasi dengan sekatan jalan raya oleh polis dan JPJ serta dengan pelbagai gelagat mat motor yang melakukan pelbagai aksi. Hamba hanya dapat menggelengkan kepala sambil menyaksikan aksi berani mereka.

Wednesday, February 3, 2010

Ba' Yor, Cicit Tok Limbong

(Ba' Yor. Sumber:: Majalah Khazanah Hikmah)


Nama penuh beliau adalah Muhamad Ghazali Bin Abdullah. Dikenali sebagai Ba' Yor, merupakan cicit kepada Tok Limbong. Lahir pada 30 Mac 1953. Beliau merupakan anak sulung daripada 7 beradik hasil perkahwinan Che Lah dengan ibu beliau Mek @ Maznah Binti Abdul Rahman.

Beliau berkahwin dengan Che Wan Sabariah Binti Che Wan Long dan dikurniakan 9 orang anak, 3 orang lelaki dan 6 orang perempuan. Beliau merupakan Imam Burdah Terengganu pada masa kini. Anak-anak beliau adalah Nurul Fatihah, Nurul Farhana, Muzahara Al-Ahmadi, Maisarah, Muhamad Zhafir, Fatimah Zakirah (meninggal dunia pada umur 7 bulan), Abdullah Dahlawi dan Fatimah Mardhiah.

Selain memimpin Burdah di Pulau Bahagia pada pagi Jumaat dan Ratib Haddad malam sebelumnya di surau ayah beliau di Pulau Musang, beliau juga mewarisi ilmu perubatan dan membuat ubatan tradisional, mengesan penyakit melalui nadi dan ilmu persilatan yang diwarisi dari ayah beliau.

Wallahu Alam......


*Makluman:: Info yang dipaparkan diambil dari majalah terbitan Khazanah Hikmah, terbitan Khazanah Ilmu Darul Iman, keluaran Febuari 2006, Keluaran Kedua.

Kisah Che Lah, Cucu Tok Limbong

Nama penuh beliau adalah Abdullah Bin Mohd Salleh. Beliau juga digelar dengan nama Che Lah Keramat. Dilahirkan pada 26 Disember 1924 di Kuala Terengganu dan meninggal dunia pada 10 Julai 2003.

Antara kelebihan beliau yang dikurniakan oleh Allah SWT adalah kadang-kadang apa yang disebut beliau akan berlaku. Pernah berlaku ada orang yang menghina beliau seperti anjing yang menyalak. Tiba-tiba orang itu merangkak dan menyalak seperti anjing. Pernah juga ada orang yang mencucuk mata lembu Che Lah. Setelah berita berkenaan sampai ke telinga beliau, beliau berkata "cucuk mata dia baru tau...". Tidak lama kemudian, semasa orang berkenaan menebas pokok, matanya tercucuk ranting kayu dan dia menjadi buta.

Che Lah juga handal membuat ubat akar kayu dan minyak ubat untuk pelbagai jenis penyakit. Beliau juga mahir mengesan penyakit melalui nadi, mahir dalam persilatan dan bisa tangan.

Beliau menerima amalan Burdah (iaitu syair memuji Rasulullah SAW) secara rohani daripada Tok Limbong (Haji Abdul Rahman Limbong) melalui mimpi, ketika tidur di dalam surau Tok Limbong di Kg Jenguk Tong, Beladau Kolam, K.Terengganu.

Wallahu Alam....

*Makluman:: Info yang dipaparkan diambil dari majalah terbitan Khazanah Hikmah, terbitan Khazanah Ilmu Darul Iman, keluaran Febuari 2006, Keluaran Kedua.

Kisah Che Leh Keramat, Anak Tok Limbong

(Che Leh Keramat. Sumber:: Majalah Khazanah Hikmah)


Nama penuh Che Leh Keramat adalah Mohd Salleh Bin Haji Abdul Rahman. Tarikh kelahiran beliau tidak diketahui, namun beliau meninggal dunia pada tahun 1962 dalam usia 72 tahun. Beliau merupakan anak kepada Tok Limbong (Haji Abdul Rahman Limbong) dan merupakan pengasas tapak Burdoh (iaitu amalan syair memuji Rasulullah SAW) di Kampung Pulau Bahagia. Beliau juga memimpin Tareqat Naqsyabandi yang diambil bai'ah dari Tok Ku Paloh. Yang menerima amalan ini bersama dengan Che Leh Keramat adalah seramai 7 orang, 5 daripadanya dari Pahang, 1 dari Kedah dan 1 dari Terengganu. Beliau seorang yang gemar berkhalwat, malah sebuah bangsal didirikan di tepi rumahnya bagi memudahkan beliau berkhalwat

Monday, February 1, 2010

Kehilangannya Untuk Selama-lamanya

Tahukah anda mengenai deretan kedai di hadapan Tempat Letak Kereta Pasar Kedai Payang sudahpun diruntuhkan? Begitu cepat sekali semua yang dilakukan sehinggakan tiada sisa sedikitpun dalam masa 1 hari sahaja.

Kehilangan untuk selama-lamanya, deretan kedai yang menyimpan sejarah akhirnya menyembah bumi, ketika berita berkenaan disampaikan kepada salah seorang teman hamba, dengan sedihnya dia berkata dia sudah kehilangan sebahagian dari dirinya, kenangan keluarganya kerana dia masih lagi ingat semasa kecil, disitulah tempat mereka sekeluarga membeli belah untuk hari raya, membeli sepatu, buku sekolah dan juga tikar getah untuk rumah.



Ada beberapa kenalan sebaya merasa hairan, kenapa hamba mengetahui tentang sejarah berkenaan sedangkan hamba sendiri tidak sempat mengalami kenangan yang bersisa sejak 50 tahun yang lampau. Hamba sendiri tidak pernah melihat menara jam di persimpangan Pasar Kedai Payang tetapi hamba diberitahu melalui gambar lama dan cerita-cerita warga asli negeri Terengganu ini.

Celakalah pada mereka yang berniat jahat atas segala yang berlaku, musnahlah salah satu kedai kitab lama yang tertua di Terengganu, Alam Akademik atau lebih dikenali sebagai Kedai Pak Lah Yunnan, seperti mana yang dititipkan kepada hamba dari ayahnda hamba.

Tidak puaskah mereka dengan kemusnahan yang berlaku ke atas Istana Kolam apabila ia dimusnahkan semata-mata untuk memberi laluan kepada pembinaan pangsapuri Kolam sedangkan istana itu menjadi saksi kebangkitan rakyat Terengganu melalui Pemberontakan Tani yang dipimpin oleh Haji Abdul Rahman Limbong dan 12 Sahabat beliau yang syahid di Padang Kachong, Kuala Telemong? Istana inilah yang menjadi tempat perbicaraan beliau kerana tuduhan memberontak. Nampaknya, masih ada lagi sisa penjajah melekat pada otak anak muda kini.

Tahniah, peristiwa ini seolah-olah membenarkan istilah "Terengganu, Where Government Embarrasses Heritage".

Terengganu yang kita akan kenali 10 tahun akan datang akan berubah sepenuhnya, hilang budaya hidupnya, digantikan dengan replika warisan tiruan yang tidak mempunyai roh.

Thursday, January 14, 2010

Warisan Terbiar - Surau Nurul Iman di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu

Ditakdirkan Allah SWT, semalam selepas pulang membaiki komputer di sekitar Batu Rakit dan Gong Kemunting, hamba telah singgah untuk solat di sebuah surau kecil dan uzur di hadapan Pasar Kedai Payang iaitu Surau Nurul Iman. Surau berkenaan bewarna hijau dan tersorok di antara deretan kedai yang menempatkan Syarikat KM Mohamed Ali dengan Syarikat Maidin dan Balai Bomba Jalan Kota.

Kesan tangga lama di dinding surau.


Rekabentuk dinding surau yang menyerupai dinding lama Masjid Abidin yang menggunakan mortar tradisional.


Papan tanda surau di dinding sisi di sebelah kiri qiblat.


Mihrab Surau Nurul Iman.


Hamba difahamkan oleh ayahanda hamba bahawa surau berkenaan sudah lama wujud, semasa Kg Keling, Kg Putera masih lagi wujud dan surau itu juga menjadi tumpuan penduduk di Jalan Banggol dan Kg Paya Keladi ketika itu. Dan walaupun surau itu kelihatan lusuh dan usang, tetapi jika dinaiktaraf hamba yakin ciri-ciri tradisional akan terserlah. Insya Allah.

Tempat Letak Kereta Pasar Kedai Payang dilihat dari Surau Nurul Iman.


Telaga Surau Nurul Iman.


Pintu masuk Surau Nurul Iman.


Papan kenyataan Surau Nurul Iman.


Tiada tandas, hanya tempat buang air kecil sahaja. Mungkin kerana kekurangan ruang.


Hamba kurang mempunyai maklumat mengenai surau ini dan hamba akan cuba mencari asal usul dan sejarah surau berkenaan. Insya Allah, hamba akan kemaskini maklumat tentang surau ini di masa akan datang.

Tuesday, January 12, 2010

Sudah Dipastikan, Terhapus Jua Tanah Tok Pelam

Malam ini hamba dikejutkan dengan informasi yang diberikan oleh ayah hamba. Katanya, MB Terengganu akan datang di SK Ladang untuk membincangkan proses pengambilan tanah. Hamba terkedu, terkesima, dan tergamam. Tidak sangka bahawa Tanah Tok Pelam akan diambil alih dengan secepat mungkin.

Hamba tidak dapat memberi pandangan kerana otak hamba terkeliru dengan apa yang berlaku. Rujuklah post hamba yang lepas untuk mengenali Tanah Tok Pelam ini.

Kadangkala, hamba seolah-olah mengiyakan komen yang dihantar oleh pembaca ketika hamba membaca blog-blog yang menggesa supaya deretan kedai di hadapan Tempat Letak Kereta Pasar Kedai Payang diselamatkan. Namun, deretan kedai itu kini telah menyembah bumi. Syabas warga Terengganu, kerana ketidak perihatinan anda, satu lagi warisan Terengganu sebenar lenyap, dan kita akan berbangga dengan warisan palsu, replika yang langsung tiada roh sejarah. Seperti mana kata-kata blog-blog tersebut:

Terengganu, Where Government Embarrasses Heritage.

Saturday, January 2, 2010

Pulau Sekati, Terpelihara Di Tengah Pembangunan

Hari ini, hamba menjejakkan kaki hamba ke sebuah tempat yang sudah lama hamba idamkan, Pulau Sekati. Pulau yang terletak setentang dengan Kompleks Muzium Negeri Terengganu seolah-olah memannggil hamba untuk hamba berziarah kepadanya. Dari luar, pulau ini kelihatan biasa sahaja, namun apa yang membuat hamba berkobar-kobar untuk menjelajahinya adalah kerana pulau ini terhindar dari arus pembangunan yang kini rakus meratah warisan negeri Terengganu di kawasan muara Sungai Terengganu.


Menurut cerita, Pulau Sekati mendapat namanya kerana jumlah hadiah yang ditawarkan oleh Sultan Terengganu kepada Raja Chulan iaitu sekati emas untuk menyabung ayam. Perlawanan sabung ayam itu diadakan di Pulau Sekati.


Pulau ini terletak di pertemuan Sungai Terengganu dan Sungai Nerus. Pulau ini mempunyai kemudahan elektrik dan air tetapi tiada jalanraya. Hanya motorsikal sahaja boleh melalui jalan ke pulau ini kerana jambatan untuk ke pulau ini hanya dibuat dengan kayu.

Sebelum itu, hamba bertanya kepada penduduk kampung yang kebetulan berada di hujung jambatan kerana hamba bimbang dengan keadaan jambatan yang uzur itu. Setelah diberi kebenaran, maka hamba dengan perasaan yang bercampur baur bergerak dengan motorsikal hamba ke pulau itu.


Subahanallah...!!! Ma Adzamatillah...!!! Itulah reaksi pertama hamba, melihat pulau ini, seolah-olah kembali ke 100 tahun yang lampau. Mengapa?? Kerana tiada jalanraya dan ada hanyalah denai-denai. Tidak disentuh kemajuan langsung. Maka, hamba terus tercari-cari di manakah masjid Pulau Sekati kerana selama ini, hamba hanya nampak masjid tersebut selama mana hamba melihat pulau tersebut di pinggir sungai Terengganu di hadapan Muzium Negeri Terengganu selama ini.




Dalam perjalanan itu, hamba terserempak dengan beberapa penduduk kampung dan alangkah bahagianya hamba apabila semua mereka tersenyum dan beramah mesra dengan hamba. Ya Allah Ya Tuhanku, peliharakanlah mereka dan rahmatilah mereka. Hamba belum pernah terasa begitu gembira selama berada di kampung orang. Memang terasa sopan santun dan budi bahasa mereka yang tinggi.


Akhirnya, hamba bertemu juga dengan masjid Pulau Sekati. Kecil, uzur tetapi mendamaikan. Betul-betul berada di tebing Sungai Terengganu menghadap Muzium Negeri Terengganu. Indah dan permai. Ingin berada di situ lebih lama tetapi masa tidak mengizinkan. Hamba beredar dari pulau itu dengan perasaan dan jiwa yang bersemangat kembali.



Namun, mungkin kedamaian pulau itu tidak lama kerana pulau itu akan diratah untuk memberi laluan kepada pembinaan jambatan baru yang menghubungkan Losong ke Bukit Datu. Betul-betul merentas pulau terbabit. Dan, akan hilanglah satu warisan atas nama pembangunan. Semoga pembinaan tersebut tidak memberi impak negatif kepada pulau terbabit memandangkan keperluan penduduk untuk berhubung menjadi alasan pembinaan jambatan terbabit. Dan janganlah rumah penduduk diratah untuk diberi laluan kepada pembinaan hotel seperti mana yang didengar dari khabar angin yang bertiup kencang.

Mudah-mudahan....

Friday, January 1, 2010

Pengakhiran Hayat Tanah wakaf Tok Pelam

Terletak di kawasan strategik di Kuala Terengganu, Tanah Wakaf Tok Pelam merupakan satu kawasan hartanah strategik yang menjadi tumpuan ramai penduduk dalam proses urbanisasi di Bandaraya Kuala Terengganu. Kawasan ini juga lebih dikenali sebagai Kampung Ladang Tok Pelam ini menempatkan maqam Tok Pelam dan kubur-kubur penduduk asli di Kuala Terengganu selain tanah perkuburan Syeikh Ibrahim. Malahan, Kampung Ladang Tok Pelam telah wujud sejak zaman berzaman dan melebihi dari permulaan hayat Bandaraya Kuala Terengganu sendiri sama seperti kampung tradisi yang lain.


Walaupun perkampungan ini kelihatan seperti setinggan bagi sesetengah pihak, sebenarnya terdapat banyak rumah-rumah tradisi yang telah terbina sejak ratusan tahun dahulu, satu warisan dan sejarah dan satu identiti kita, identiti Melayu Terengganu. Malahan, tidaklah keterlaluan jika Kampung Ladang Tok Pelam menjadi saksi perubahan Kuala Terengganu dan menyumbang kepada perkembangan Bandaraya Kuala Terengganu.

Kini, semua warisan itu akan lenyap selamanya. Projek telah diluluskan dan proses bancian untuk pengambilan tanah telah dilaksanakan walaupun sebahagian besar kampung itu terletak di atas tanah wakaf iaitu tanah umat Islam yang mana telah jelas diterangkan sejak zaman berzaman iaitu tanah wakaf tidak boleh disentuh, milik umat islam dan tidak dibenarkan membina bangunan kekal di atas tanah wakaf. Namun, apa yang dikhabarkan bahawa projek pangsapuri akan menggantikan Kampung Ladang Tok Pelam.

Jika, Kampung Cina / Jalan Bandar boleh digazetkan sebagai warisan dan tiada kemusnahan berlaku, mengapa itu tidak dilaksanakan di Kampung Ladang Tok Pelam? Adakah persatuan sejarah dan warisan Terengganu terlepas pandang atau sekadar membutakan mata dan hati? Alangkah sayangnya jika ia terus musnah ditelan arus pembangunan yang membabi buta ini. Walau buruk manapun kampung ini bagi pandangan sesetengah pihak, itulah kampung dan suasana yang sama yang didiami oleh nenek moyang kita dan sesetengah dari kita membesar dengan suasana ini. Dan, satu lagi pusat komuniti Melayu Terengganu akan musnah jika kampung ini musnah.


Kita tidak berdaya melakukan apa-apa jika ini terus berlaku. Cuma, sematkan di dalam hati dan minda, suatu ketika dahulu, bangsa kita pernah memiliki tanah itu, Tanah Tok Pelam. Bersaksilah mereka di sana, di hadapan Tuan Guru Tok Pelam, di mana mereka telah memutuskan wasiat dan khazanah Tok Pelam yang berharga ini. Dan, warisan kita hanya dalam bentuk replika, tersadai di sudut muzium tanpa bernyawa kerana warisan yang benar-benar hidup telah dibunuh oleh mereka yang buta mata dan hati tentang warisan tersebut. Puaslah hati mereka, sekurang-kurangnya di dunia....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...