Salam sejahtera kepadamu wahai Nabi Muhammad dan juga rahmat serta berkat-Nya, Salam sejahtera kepada kami dan sekalian hamba Allah yang soleh

Kempen Sosial A3manulna3m

Kempen Sosial A3manulna3m

Thursday, January 14, 2010

Warisan Terbiar - Surau Nurul Iman di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu

Ditakdirkan Allah SWT, semalam selepas pulang membaiki komputer di sekitar Batu Rakit dan Gong Kemunting, hamba telah singgah untuk solat di sebuah surau kecil dan uzur di hadapan Pasar Kedai Payang iaitu Surau Nurul Iman. Surau berkenaan bewarna hijau dan tersorok di antara deretan kedai yang menempatkan Syarikat KM Mohamed Ali dengan Syarikat Maidin dan Balai Bomba Jalan Kota.

Kesan tangga lama di dinding surau.


Rekabentuk dinding surau yang menyerupai dinding lama Masjid Abidin yang menggunakan mortar tradisional.


Papan tanda surau di dinding sisi di sebelah kiri qiblat.


Mihrab Surau Nurul Iman.


Hamba difahamkan oleh ayahanda hamba bahawa surau berkenaan sudah lama wujud, semasa Kg Keling, Kg Putera masih lagi wujud dan surau itu juga menjadi tumpuan penduduk di Jalan Banggol dan Kg Paya Keladi ketika itu. Dan walaupun surau itu kelihatan lusuh dan usang, tetapi jika dinaiktaraf hamba yakin ciri-ciri tradisional akan terserlah. Insya Allah.

Tempat Letak Kereta Pasar Kedai Payang dilihat dari Surau Nurul Iman.


Telaga Surau Nurul Iman.


Pintu masuk Surau Nurul Iman.


Papan kenyataan Surau Nurul Iman.


Tiada tandas, hanya tempat buang air kecil sahaja. Mungkin kerana kekurangan ruang.


Hamba kurang mempunyai maklumat mengenai surau ini dan hamba akan cuba mencari asal usul dan sejarah surau berkenaan. Insya Allah, hamba akan kemaskini maklumat tentang surau ini di masa akan datang.

Tuesday, January 12, 2010

Sudah Dipastikan, Terhapus Jua Tanah Tok Pelam

Malam ini hamba dikejutkan dengan informasi yang diberikan oleh ayah hamba. Katanya, MB Terengganu akan datang di SK Ladang untuk membincangkan proses pengambilan tanah. Hamba terkedu, terkesima, dan tergamam. Tidak sangka bahawa Tanah Tok Pelam akan diambil alih dengan secepat mungkin.

Hamba tidak dapat memberi pandangan kerana otak hamba terkeliru dengan apa yang berlaku. Rujuklah post hamba yang lepas untuk mengenali Tanah Tok Pelam ini.

Kadangkala, hamba seolah-olah mengiyakan komen yang dihantar oleh pembaca ketika hamba membaca blog-blog yang menggesa supaya deretan kedai di hadapan Tempat Letak Kereta Pasar Kedai Payang diselamatkan. Namun, deretan kedai itu kini telah menyembah bumi. Syabas warga Terengganu, kerana ketidak perihatinan anda, satu lagi warisan Terengganu sebenar lenyap, dan kita akan berbangga dengan warisan palsu, replika yang langsung tiada roh sejarah. Seperti mana kata-kata blog-blog tersebut:

Terengganu, Where Government Embarrasses Heritage.

Saturday, January 2, 2010

Pulau Sekati, Terpelihara Di Tengah Pembangunan

Hari ini, hamba menjejakkan kaki hamba ke sebuah tempat yang sudah lama hamba idamkan, Pulau Sekati. Pulau yang terletak setentang dengan Kompleks Muzium Negeri Terengganu seolah-olah memannggil hamba untuk hamba berziarah kepadanya. Dari luar, pulau ini kelihatan biasa sahaja, namun apa yang membuat hamba berkobar-kobar untuk menjelajahinya adalah kerana pulau ini terhindar dari arus pembangunan yang kini rakus meratah warisan negeri Terengganu di kawasan muara Sungai Terengganu.


Menurut cerita, Pulau Sekati mendapat namanya kerana jumlah hadiah yang ditawarkan oleh Sultan Terengganu kepada Raja Chulan iaitu sekati emas untuk menyabung ayam. Perlawanan sabung ayam itu diadakan di Pulau Sekati.


Pulau ini terletak di pertemuan Sungai Terengganu dan Sungai Nerus. Pulau ini mempunyai kemudahan elektrik dan air tetapi tiada jalanraya. Hanya motorsikal sahaja boleh melalui jalan ke pulau ini kerana jambatan untuk ke pulau ini hanya dibuat dengan kayu.

Sebelum itu, hamba bertanya kepada penduduk kampung yang kebetulan berada di hujung jambatan kerana hamba bimbang dengan keadaan jambatan yang uzur itu. Setelah diberi kebenaran, maka hamba dengan perasaan yang bercampur baur bergerak dengan motorsikal hamba ke pulau itu.


Subahanallah...!!! Ma Adzamatillah...!!! Itulah reaksi pertama hamba, melihat pulau ini, seolah-olah kembali ke 100 tahun yang lampau. Mengapa?? Kerana tiada jalanraya dan ada hanyalah denai-denai. Tidak disentuh kemajuan langsung. Maka, hamba terus tercari-cari di manakah masjid Pulau Sekati kerana selama ini, hamba hanya nampak masjid tersebut selama mana hamba melihat pulau tersebut di pinggir sungai Terengganu di hadapan Muzium Negeri Terengganu selama ini.




Dalam perjalanan itu, hamba terserempak dengan beberapa penduduk kampung dan alangkah bahagianya hamba apabila semua mereka tersenyum dan beramah mesra dengan hamba. Ya Allah Ya Tuhanku, peliharakanlah mereka dan rahmatilah mereka. Hamba belum pernah terasa begitu gembira selama berada di kampung orang. Memang terasa sopan santun dan budi bahasa mereka yang tinggi.


Akhirnya, hamba bertemu juga dengan masjid Pulau Sekati. Kecil, uzur tetapi mendamaikan. Betul-betul berada di tebing Sungai Terengganu menghadap Muzium Negeri Terengganu. Indah dan permai. Ingin berada di situ lebih lama tetapi masa tidak mengizinkan. Hamba beredar dari pulau itu dengan perasaan dan jiwa yang bersemangat kembali.



Namun, mungkin kedamaian pulau itu tidak lama kerana pulau itu akan diratah untuk memberi laluan kepada pembinaan jambatan baru yang menghubungkan Losong ke Bukit Datu. Betul-betul merentas pulau terbabit. Dan, akan hilanglah satu warisan atas nama pembangunan. Semoga pembinaan tersebut tidak memberi impak negatif kepada pulau terbabit memandangkan keperluan penduduk untuk berhubung menjadi alasan pembinaan jambatan terbabit. Dan janganlah rumah penduduk diratah untuk diberi laluan kepada pembinaan hotel seperti mana yang didengar dari khabar angin yang bertiup kencang.

Mudah-mudahan....

Friday, January 1, 2010

Pengakhiran Hayat Tanah wakaf Tok Pelam

Terletak di kawasan strategik di Kuala Terengganu, Tanah Wakaf Tok Pelam merupakan satu kawasan hartanah strategik yang menjadi tumpuan ramai penduduk dalam proses urbanisasi di Bandaraya Kuala Terengganu. Kawasan ini juga lebih dikenali sebagai Kampung Ladang Tok Pelam ini menempatkan maqam Tok Pelam dan kubur-kubur penduduk asli di Kuala Terengganu selain tanah perkuburan Syeikh Ibrahim. Malahan, Kampung Ladang Tok Pelam telah wujud sejak zaman berzaman dan melebihi dari permulaan hayat Bandaraya Kuala Terengganu sendiri sama seperti kampung tradisi yang lain.


Walaupun perkampungan ini kelihatan seperti setinggan bagi sesetengah pihak, sebenarnya terdapat banyak rumah-rumah tradisi yang telah terbina sejak ratusan tahun dahulu, satu warisan dan sejarah dan satu identiti kita, identiti Melayu Terengganu. Malahan, tidaklah keterlaluan jika Kampung Ladang Tok Pelam menjadi saksi perubahan Kuala Terengganu dan menyumbang kepada perkembangan Bandaraya Kuala Terengganu.

Kini, semua warisan itu akan lenyap selamanya. Projek telah diluluskan dan proses bancian untuk pengambilan tanah telah dilaksanakan walaupun sebahagian besar kampung itu terletak di atas tanah wakaf iaitu tanah umat Islam yang mana telah jelas diterangkan sejak zaman berzaman iaitu tanah wakaf tidak boleh disentuh, milik umat islam dan tidak dibenarkan membina bangunan kekal di atas tanah wakaf. Namun, apa yang dikhabarkan bahawa projek pangsapuri akan menggantikan Kampung Ladang Tok Pelam.

Jika, Kampung Cina / Jalan Bandar boleh digazetkan sebagai warisan dan tiada kemusnahan berlaku, mengapa itu tidak dilaksanakan di Kampung Ladang Tok Pelam? Adakah persatuan sejarah dan warisan Terengganu terlepas pandang atau sekadar membutakan mata dan hati? Alangkah sayangnya jika ia terus musnah ditelan arus pembangunan yang membabi buta ini. Walau buruk manapun kampung ini bagi pandangan sesetengah pihak, itulah kampung dan suasana yang sama yang didiami oleh nenek moyang kita dan sesetengah dari kita membesar dengan suasana ini. Dan, satu lagi pusat komuniti Melayu Terengganu akan musnah jika kampung ini musnah.


Kita tidak berdaya melakukan apa-apa jika ini terus berlaku. Cuma, sematkan di dalam hati dan minda, suatu ketika dahulu, bangsa kita pernah memiliki tanah itu, Tanah Tok Pelam. Bersaksilah mereka di sana, di hadapan Tuan Guru Tok Pelam, di mana mereka telah memutuskan wasiat dan khazanah Tok Pelam yang berharga ini. Dan, warisan kita hanya dalam bentuk replika, tersadai di sudut muzium tanpa bernyawa kerana warisan yang benar-benar hidup telah dibunuh oleh mereka yang buta mata dan hati tentang warisan tersebut. Puaslah hati mereka, sekurang-kurangnya di dunia....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...