Salam sejahtera kepadamu wahai Nabi Muhammad dan juga rahmat serta berkat-Nya, Salam sejahtera kepada kami dan sekalian hamba Allah yang soleh

Kempen Sosial A3manulna3m

Kempen Sosial A3manulna3m

Tuesday, January 12, 2010

Sudah Dipastikan, Terhapus Jua Tanah Tok Pelam

Malam ini hamba dikejutkan dengan informasi yang diberikan oleh ayah hamba. Katanya, MB Terengganu akan datang di SK Ladang untuk membincangkan proses pengambilan tanah. Hamba terkedu, terkesima, dan tergamam. Tidak sangka bahawa Tanah Tok Pelam akan diambil alih dengan secepat mungkin.

Hamba tidak dapat memberi pandangan kerana otak hamba terkeliru dengan apa yang berlaku. Rujuklah post hamba yang lepas untuk mengenali Tanah Tok Pelam ini.

Kadangkala, hamba seolah-olah mengiyakan komen yang dihantar oleh pembaca ketika hamba membaca blog-blog yang menggesa supaya deretan kedai di hadapan Tempat Letak Kereta Pasar Kedai Payang diselamatkan. Namun, deretan kedai itu kini telah menyembah bumi. Syabas warga Terengganu, kerana ketidak perihatinan anda, satu lagi warisan Terengganu sebenar lenyap, dan kita akan berbangga dengan warisan palsu, replika yang langsung tiada roh sejarah. Seperti mana kata-kata blog-blog tersebut:

Terengganu, Where Government Embarrasses Heritage.

Saturday, January 2, 2010

Pulau Sekati, Terpelihara Di Tengah Pembangunan

Hari ini, hamba menjejakkan kaki hamba ke sebuah tempat yang sudah lama hamba idamkan, Pulau Sekati. Pulau yang terletak setentang dengan Kompleks Muzium Negeri Terengganu seolah-olah memannggil hamba untuk hamba berziarah kepadanya. Dari luar, pulau ini kelihatan biasa sahaja, namun apa yang membuat hamba berkobar-kobar untuk menjelajahinya adalah kerana pulau ini terhindar dari arus pembangunan yang kini rakus meratah warisan negeri Terengganu di kawasan muara Sungai Terengganu.


Menurut cerita, Pulau Sekati mendapat namanya kerana jumlah hadiah yang ditawarkan oleh Sultan Terengganu kepada Raja Chulan iaitu sekati emas untuk menyabung ayam. Perlawanan sabung ayam itu diadakan di Pulau Sekati.


Pulau ini terletak di pertemuan Sungai Terengganu dan Sungai Nerus. Pulau ini mempunyai kemudahan elektrik dan air tetapi tiada jalanraya. Hanya motorsikal sahaja boleh melalui jalan ke pulau ini kerana jambatan untuk ke pulau ini hanya dibuat dengan kayu.

Sebelum itu, hamba bertanya kepada penduduk kampung yang kebetulan berada di hujung jambatan kerana hamba bimbang dengan keadaan jambatan yang uzur itu. Setelah diberi kebenaran, maka hamba dengan perasaan yang bercampur baur bergerak dengan motorsikal hamba ke pulau itu.


Subahanallah...!!! Ma Adzamatillah...!!! Itulah reaksi pertama hamba, melihat pulau ini, seolah-olah kembali ke 100 tahun yang lampau. Mengapa?? Kerana tiada jalanraya dan ada hanyalah denai-denai. Tidak disentuh kemajuan langsung. Maka, hamba terus tercari-cari di manakah masjid Pulau Sekati kerana selama ini, hamba hanya nampak masjid tersebut selama mana hamba melihat pulau tersebut di pinggir sungai Terengganu di hadapan Muzium Negeri Terengganu selama ini.




Dalam perjalanan itu, hamba terserempak dengan beberapa penduduk kampung dan alangkah bahagianya hamba apabila semua mereka tersenyum dan beramah mesra dengan hamba. Ya Allah Ya Tuhanku, peliharakanlah mereka dan rahmatilah mereka. Hamba belum pernah terasa begitu gembira selama berada di kampung orang. Memang terasa sopan santun dan budi bahasa mereka yang tinggi.


Akhirnya, hamba bertemu juga dengan masjid Pulau Sekati. Kecil, uzur tetapi mendamaikan. Betul-betul berada di tebing Sungai Terengganu menghadap Muzium Negeri Terengganu. Indah dan permai. Ingin berada di situ lebih lama tetapi masa tidak mengizinkan. Hamba beredar dari pulau itu dengan perasaan dan jiwa yang bersemangat kembali.



Namun, mungkin kedamaian pulau itu tidak lama kerana pulau itu akan diratah untuk memberi laluan kepada pembinaan jambatan baru yang menghubungkan Losong ke Bukit Datu. Betul-betul merentas pulau terbabit. Dan, akan hilanglah satu warisan atas nama pembangunan. Semoga pembinaan tersebut tidak memberi impak negatif kepada pulau terbabit memandangkan keperluan penduduk untuk berhubung menjadi alasan pembinaan jambatan terbabit. Dan janganlah rumah penduduk diratah untuk diberi laluan kepada pembinaan hotel seperti mana yang didengar dari khabar angin yang bertiup kencang.

Mudah-mudahan....

Friday, January 1, 2010

Pengakhiran Hayat Tanah wakaf Tok Pelam

Terletak di kawasan strategik di Kuala Terengganu, Tanah Wakaf Tok Pelam merupakan satu kawasan hartanah strategik yang menjadi tumpuan ramai penduduk dalam proses urbanisasi di Bandaraya Kuala Terengganu. Kawasan ini juga lebih dikenali sebagai Kampung Ladang Tok Pelam ini menempatkan maqam Tok Pelam dan kubur-kubur penduduk asli di Kuala Terengganu selain tanah perkuburan Syeikh Ibrahim. Malahan, Kampung Ladang Tok Pelam telah wujud sejak zaman berzaman dan melebihi dari permulaan hayat Bandaraya Kuala Terengganu sendiri sama seperti kampung tradisi yang lain.


Walaupun perkampungan ini kelihatan seperti setinggan bagi sesetengah pihak, sebenarnya terdapat banyak rumah-rumah tradisi yang telah terbina sejak ratusan tahun dahulu, satu warisan dan sejarah dan satu identiti kita, identiti Melayu Terengganu. Malahan, tidaklah keterlaluan jika Kampung Ladang Tok Pelam menjadi saksi perubahan Kuala Terengganu dan menyumbang kepada perkembangan Bandaraya Kuala Terengganu.

Kini, semua warisan itu akan lenyap selamanya. Projek telah diluluskan dan proses bancian untuk pengambilan tanah telah dilaksanakan walaupun sebahagian besar kampung itu terletak di atas tanah wakaf iaitu tanah umat Islam yang mana telah jelas diterangkan sejak zaman berzaman iaitu tanah wakaf tidak boleh disentuh, milik umat islam dan tidak dibenarkan membina bangunan kekal di atas tanah wakaf. Namun, apa yang dikhabarkan bahawa projek pangsapuri akan menggantikan Kampung Ladang Tok Pelam.

Jika, Kampung Cina / Jalan Bandar boleh digazetkan sebagai warisan dan tiada kemusnahan berlaku, mengapa itu tidak dilaksanakan di Kampung Ladang Tok Pelam? Adakah persatuan sejarah dan warisan Terengganu terlepas pandang atau sekadar membutakan mata dan hati? Alangkah sayangnya jika ia terus musnah ditelan arus pembangunan yang membabi buta ini. Walau buruk manapun kampung ini bagi pandangan sesetengah pihak, itulah kampung dan suasana yang sama yang didiami oleh nenek moyang kita dan sesetengah dari kita membesar dengan suasana ini. Dan, satu lagi pusat komuniti Melayu Terengganu akan musnah jika kampung ini musnah.


Kita tidak berdaya melakukan apa-apa jika ini terus berlaku. Cuma, sematkan di dalam hati dan minda, suatu ketika dahulu, bangsa kita pernah memiliki tanah itu, Tanah Tok Pelam. Bersaksilah mereka di sana, di hadapan Tuan Guru Tok Pelam, di mana mereka telah memutuskan wasiat dan khazanah Tok Pelam yang berharga ini. Dan, warisan kita hanya dalam bentuk replika, tersadai di sudut muzium tanpa bernyawa kerana warisan yang benar-benar hidup telah dibunuh oleh mereka yang buta mata dan hati tentang warisan tersebut. Puaslah hati mereka, sekurang-kurangnya di dunia....

Thursday, December 31, 2009

Terengganu Dan Kelantan, Serupa Tetapi Tak Sama

Terengganu dan Kelantan merupakan dua buah negeri yang terletak di pantai timur Tanah Melayu. Negeri ini merupakan negeri yang benar-benar menghadap pantai timur tidak seperti Pahang dimana sebahagian besar negeri tersebut menghadap pantai barat Tanah Melayu. Maka, negeri Terengganu dan Kelantan mempunyai banyak persamaan yang ketara, tidak kurang juga perbezaan yang ketara.


Dari sudut bahasa, banyak istilah dikongsi bersama walaupun cara sebutan yang agak berlainan. Bahkan, dari sudut budaya dan makanan tradisional, dua negeri ini tetap berkongsi. Dari sudut pembinaan tradisional dan pembuatan kayu, kedua-dua negeri ini mempunyai persamaan walaupun terdapat sedikit perbezaan yang tidak ketara.

Maka, bolehlah dianggap bahawa kedua-dua negeri ini seolah-olah adik beradik kembar, sama tetapi tidak serupa. Walaupun penduduk Kelantan dianggap lebih konservatif daripada Terengganu, itu bukanlah menjadi satu tajuk utama dalam memisahkan pemahaman antara dua negeri terbabit.

Pelbagai isu sama ada dari politik, sosial dan budaya juga dikongsi bersama. Tidaklah perlu diterangkan isu-isu tersebut kerana hamba tidak mahu menyentuh sensitiviti sesetengah pihak.

Akhir kata, kepada warga kedua-dua negeri ini, hamba menyeru agar marilah sama-sama kita bersatu. Kadangkala, terdapat juga isu yang menyebabkan kedua-dua negeri ini berselisih faham, tetapi lupakan persengketaan dan ingatlah tentang persamaan yang dikongsi bersama.

Sunday, December 27, 2009

Sebilangan Masyarakat Terengganu Yang............

Muqaddimah

Terengganu telahpun dibuktikan menjadi salah sebuah negeri awal yang mempunyai tamadun yang tersendiri yang bermula dari kerajaan purba Fo-Lo-An, bukti kedatangan islam melalui penemuan batu bersurat, hinggalah penubuhan kerajaan Kesultanan Melayu Terengganu pada 1708. Pelbagai kejayaan ketamadunan dicapai oleh masyarakat Terengganu sehinggakan budaya, bahasa dan pelbagai sudut ketamadunan Terengganu mencapai tahap keistimewaannya tersendiri.

Umum mengetahui bahawa Terengganu digelar dengan gelaran Darul Iman sejak zaman-berzaman. Dahulunya, Terengganu juga digelar dengan Darussalam kerana keamanan dan kemajuan dalam bidang material dan rohani yang seiring dengan zaman. Maka, banyaklah pengaruh Islam meresap ke dalam jati diri masyarakat Terengganu sehinggakan Abdullah Munsyi menyatakan bahawa penduduk Terengganu lebih fasih berbahasa Arab dan nahu bacaan Al-Quran masyarakat Terengganu lebih baik dari masyarakat negeri-negeri lain.

Kini, setelah beratus tahun berlalu, lebih kurang 700 tahun setelah batu bersurat diukir di Kampung Buluh, banyak kemusnahan identiti Terengganu berlaku. Yang jelas kelihatan kini, adalah penggantian masjid. Banyak masjid lama dirobohkan dan digantikan dengan masjid baru. Yang hairannya, sebilangan masyarakat jemaah masjid menyokong situasi ini tanpa sedar bahawa tidak semua situasi berkenaan adalah situasi yang baik.

Bab 1: Masjid Raja Chendering, Kuala Terengganu

Masjid yang berusia ratusan tahun ini dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid yang lebih besar dan cantik. AJK masjid menyokong penuh perobohan ini dengan memberi alasan bahawa jemaah di sekitarnya semakin meningkat. Namun, apa yang dikesalkan adalah nilai tradisi dan imej tamadun Islam Terengganu tercalar. Cuba kita fikirkan, jika masyarakat Turki boleh berbangga dengan Masjid Biru, masyarakat Indonesia boleh berbangga dengan Masjid Agung Demak dan masyarakat Mali boleh berbangga dengan Masjid Djenne yang jika difikirkan jauh lebih usang dari Masjid Raja Chendering ini, apa yang masyarakat Terengganu boleh banggakan?? Mana bangunan yang terbina dengan teknologi tamadun Terengganu yang berusia ratusan tahun. Walau bagaimanapun, tahniah kepada mereka yang menyokong kerana masjid tersebut telah diruntuhkan juga akhirnya.

Bab 2: Masjid Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu

Masjid yang dibina oleh penduduk kampung sejak zaman dahulu kala ini terkenal suatu ketika dahulu kerana bentuknya yang panjang. Mengikut kata penduduk, keadaan masjid tersebut adalah kerana setiap pendakwah yang ingin mengajar perlu membina ruangan mengajar dan menyambung binaan masjid tersebut. Akhirnya, muncullah bentuk Masjid Surau Panjang yang unik tersebut. Tidak mahu mengulas panjang, akhirnya pada tahun 2006, masjid tersebut diruntuhkan dan diganti dengan masjid binaan konkrit yang kelihatan sama dengan masjid-masjid lain, tiada lagi keunikan dan warisan serta satu-satunya wasiat masyarakat kampung tersebut yang telah meninggal dunia. Putuslah amalan dan pahala mereka bila binaan lama tersebut dirobohkan, termasuklah mimbar masjid asal.

Bab 3: Masjid Raja Bukit Besar, Kuala Terengganu


Masjid ini pernah digemparkan kerana kehadiran sebatang pokok yang dikatakan "menangis". Projek merobohkan masjid ini mendapat tentangan penduduk di sekitarnya dengan alasan mereka bersetuju jika masjid tersebut dibaikpulih dan diperbesarkan, bukan dengan merobohkannya. Namun, masjid tersebut telah dirobohkan dan pembinaan masjid baru telah dilaksanakan walaupun usia masjid tersebut hampir mencapai 100 tahun. Maka, amalan datuk dan nenek moyang kita yang menyumbang tenaga dan bahan ke arah pembinaan masjid ini terputus. Nantikan di akhirat bila mereka bertanya mengapa kita memutuskan pahala mereka.

Bab 4: Masjid Kampung Gelugor Raja, Kuala Terengganu

Usia masjid ini belum dipastikan, namun masjid ini memang salah sebuah masjid lama memandangan bentuk masjid tersebut masih mempunyai bumbung Rumah Bujang, iaitu rekaan rumah tradisional Melayu Terengganu. Tahniah kepada penduduk kampung ini kerana mengorbankan satu lagi warisan Melayu kerana apa yang diketahui, penduduk tidak memberikan respon apabila cadangan merobohkannya dikeutarakan. Maka, sedihlah penghuni di tanah perkuburan di kampung tersebut kerana hasil usaha mereka ratusan tahun dahulu dimusnahkan begitu sahaja atas nama pembangunan.


Akhir kata, kita sering berbangga dengan tamadun orang lain dan senibina orang lain sedangkan kita menyembelih identiti dan budaya kita sendiri... Layakkah kita bergelar bangsa Melayu?? Mereka yang menolak budaya adalah mereka yang bodoh dan inilah yang berlaku hari ini.... Inilah sebilangan daripada mereka yang bodoh.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...