Sudah lama rasanya tidak mengemaskini blog ini, agak berhabuk nampaknya. Namun, Alhamdulillah, dengan peluang masa yang ada ini, Insya Allah kita manafaatkan bersama dalam penyebaran ilmu dan maklumat kehidupan di samping bersama-sama menilai diri sendiri, mencari kekurangan yang ada dan memaknai usia kita.
Baru-baru ini hamba telah berkunjung ke daerah warisan, daerah yang kaya sejarah, iaitu Hulu Terengganu. Dalam menyelesaikan projek mengenai petempatan Arab di Terengganu telah membawa diri ini ke Kuala Berang. Tempat pertama yang dijejaki tentulah di Memorial Batu Bersurat Terengganu di Kampung Buluh, dalam usaha merekodkan lokasi batu bertulisan jawi tertua di Nusantara ini.
Plat Jawi Memorial Batu Bersurat Terengganu |
Memorial Batu Bersurat |
Namun, ditakdirkan Allah Taala, hamba menemui seorang insan yang kebetulan merupakan penduduk kampung berkenaan. Kami berdiskusi mengenai maklumat yang tertulis pada batu bersurat yang bertarikh 4 Rejab 702 Hijrah, menurut sesetengah pendapat. Pada mulanya kami berbincang mengenai kedatangan Syarif Muhammad Al-Baghdadi yang rata-ratanya dipercayai bahawa beliau yang menulis kandungan batu bersurat ini.
Makam Tok Gajah (kiri) dan Makam Tok Pauh (kanan) yang turut diziarahi selepas ke Memorial Batu Bersurat. |
Namun, perbincangan itu tersasar apabila insan berkenaan membangkitkan mengenai 'pemilihan' dan 'keistimewaan' wilayahnya dalam kebangkitan umat akhir zaman, menyentuh mengenai Imam Mahdi dan Dajjal serta panji hitam dari timur. Kenyataan demi kenyataannya mulai semakin taksub dengan daerah yang dipijaknya. Sehingga dalam masa yang sama kenyataan yang semakin melampau mulai dituturkan dengan menyatakan bahawa akan berlaku huru-hara merata bumi, dan tempat yang selamat untuk berlindung hanyalah di kawasannya.
Ikhlasnya, bukanlah hamba menolak mengenai tanda-tanda akhir zaman, namun pendapat peribadi biarlah Allah Taala menentukan segalanya, dari mana bangkitnya Islam, atau dari mana pelusuk berlakunya huru-hara, semua itu milik Allah Taala, cuma kita sebagai manusia hendaklah menerima segala ketentuan-Nya disamping melakukan segala perkara-perkara yang disyariatkan kepada kita sebagai hamba-Nya, Insya Allah terlindung dari segala bala-bencana.
Mempercayai bahawa sebahagian bumi adalah bertuah serta keramat serta mempercayai sebahagian bumi lagi adalah buruk dan celaka adalah perbuatan yang sangat tidak wajar. Itulah yang berlaku di zaman sebelum diutuskan Rasulullah SAW sebagai pemimpin umat, apabila penduduk Mekah terlalu mengagungkan bumi suci itu sehinggakan membawa batu dan kayu daripada Tanah Suci untuk 'bertawaf' di tempat lain, yang akhirnya mengundang kepada amalan menyembah berhala apabila pemahaman 'kesucian' itu berpindah dari batu dan kayu kepada patung berhala ciptaan mereka, Nauzubillah.
Anggaplah bumi dan wilayah kita ini bertuah kerana mempunyai syiar Islam, tidaklah lebih dari itu, kerana ketaksuban yang melampau boleh membuat kita tergelincir dari rasional. Kerana ketaksuban itulah, Rasulullah SAW menegaskan tentang tiada perbezaan antara Arab dan Arjam. Sekiranya kaum Arab pada zaman dahulu taksub dengan darah dan bumi mereka, bagaimana Islam hendak disebarkan di kalangan bukan Arab?
Oleh itu, hapuskan rasa ketaksuban kita dan menerima bahawa setiap orang Islam adalah bersaudara, dan kita hidup dalam keluarga yang besar, penuh dengan kasih sayang sesama kita dalam mengejar keredhaan Allah Taala. Insya Allah...
2 comments:
sangat lama.....ramai yang menanti post dari blog ni. entry ni sangat menarik.
Alhamdulillah, sudah lama tak update, sibuk dengan UniSZA... Rindu nak menulis. Thanks singgah, slumberdek!!
Post a Comment