Umum mengetahui peranan Kuala Terengganu sebagai pusat pentadbiran negeri dan pusat ekonomi tradisional walaupun Chukai lebih dominan dalam perkembangan ekonomi moden terutamanya dalam industri pembuatan serta petroleum dan gas.
Sekitar tapak asas Kuala Terengganu, terdapat empat pusat ekonomi masyarakat setempat sehingga akhir tahun 1960-an iaitu, Pasar Ladang, Pasar Tanjung, Pasar Kedai Payang dan Pasar Kedai Binjai. Pasar Tanjung merupakan pasar yang terbesar dengan menempatkan pelbagai hasil negeri memandangkan kedudukannya yang terletak berhadapan dengan muka kuala Sungai Terengganu berbanding pasar yang lain.
Namun setelah berlaku hakisan dan pembangunan, pada awal tahun 1970-an, Pasar Tanjung dirobohkan dan para peniaga dipindahkan ke Pasar Kedai Payang yang kemudiannya menjadi pusat pembangunan ekonomi tradisional Terengganu hingga kini. Tapak Pasar Tanjung digantikan dengan Taman Selera Tanjung. Manakala, Pasar Kedai Binjai digantikan dengan pembinaan Hotel Sri Malaysia dan Pasar Ladang digantikan dengan bangunan Pusat Pameran Songket Terengganu.
Muka kuala di belakang Pasar Tanjung. Kawasan ini juga dikenali sebagai Pantai Teluk. Kini menjadi sebahagian daripada Taman Syahbandar
(Sumber:: "Growing Up In Trengganu")
(Sumber:: "Growing Up In Trengganu")
Sumber barangan ekonomi tradisional yang dipasarkan di pasar-pasar Kuala Terengganu ini diperoleh daripada masyarakat yang tinggal berhampiran dengan lembangan Sungai Terengganu dan Sungai Nerus terutamanya sekitar Manir, Kuala Telemong, dan Kuala Berang. masyarakat kampung yang tinggal berhampiran sungai ini menjalankan aktiviti perniagaan yang berpusat di Kuala Terengganu dengan memasarkan barangan berkenaan di pasar-pasar. Maka, muncullah kebudayaan dan teknologi maritim masyarakat Terengganu yang dibuktikan dengan kemunculan perahu dagang yang dikenali sebagai Perahu Setak dan Perahu Kajangan yang digunakan oleh masyarakat Hulu Terengganu untuk mudik ke kuala, manakala Perahu Penambang Bedar muncul seiring dengan permintaan masyarakat yang mahukan pengangkutan menyeberang Sungai Terengganu.
Kuala Terengganu dahulu juga kaya dengan hasil Lada Hitam, buah-buahan dan juga daging kerbau. Ini dinyatakan dalam catatan penjajah yang melawat Kuala Terengganu sekitar 1920-an. Kuala Terengganu dipuji dengan pembangunan yang teratur, kedudukan rumah yang tersusun, jalanraya yang berturap dan kemudahan infrasturukur yang belum dicapai oleh mana-mana bandar tradisional sekitar Tanah Melayu ketika itu. Dengan kehadiran Genta Bukit Puteri yang menjadi sumber rujukan waktu dan berfungsi untuk waktu kecemasan, Kuala Terengganu sememangnya unik.
Pada akhir 1980-an seiring dengan kemunculan sumber petroleum di perut laut Terengganu, bandar-bandar pesisir pantai Dungun dan Kemaman mulai membangun setelah terbantut akibat terhentinya industri perlombongan di Bukit Besi. Dan kini, Bandar Chukai menjadi pusat pembangunan ekonomi moden negeri seiring dengan pembangunan ekonomi tradisional Kuala Terengganu.
Majlis Perbandaran Kuala Terengganu ditubuhkan pada 18 Januari 1979 dan dinaik taraf kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu pada 1 Januari 2008. Dalam tempoh bermula 1925 hingga kini, pelbagai perubahan dan pembangunan yang dikecapi tidak kurang juga kemusnahan warisan yang dialami Kuala Terengganu antaranya perobohan Jam Besar Pasar Kedai Payang, perobohan Istana Kolam, kemusnahan kampung-kampung tradisi di sekitar Kuala Terengganu yang menyaksikan kemusnahan industri tradisional yang berpusat di kampung berkenaan termasuklan industri keris, tembaga dan songket dan juga kemusnahan bangunan bersejarah di sekitar Pasar Kedai Payang.
Dalam perubahan Kuala Terengganu untuk terus menjadi tempat ideal bagi penduduknya, tanpa disedari warisan dan identiti asal Kuala Terengganu juga telah termusnah dalam usaha membangunkannya. Namun, warisan kebudayaan masyarakat terus berganti dan diwarisi oleh generasi Terengganu yang sedar kepentingannya.
Wallahu Alam...
2 comments:
mane awk dapat gmbar lame2 2 ha naim??
banyak tempat la, kat facebook, blog orang, scan dari buku dan bnyk lagi
Post a Comment