Salam sejahtera kepadamu wahai Nabi Muhammad dan juga rahmat serta berkat-Nya, Salam sejahtera kepada kami dan sekalian hamba Allah yang soleh

Kempen Sosial A3manulna3m

Kempen Sosial A3manulna3m

Thursday, March 10, 2011

Pembangunan Tamadun Dari Cetusan Syiar Islam

Kepulauan Melayu telah menerima syiar Islam dengan cara yang unik berbanding wilayah-wilayah lain di dunia, tiada perpindahan beramai-ramai mahupun perperangan pembukaan wilayah yang dilancarkan dalam menyebarkan agama Allah Taala ini. Bahkan para orientalis masih lagi mempunyai pelbagai andaian dan teori yang radikal dan kadangkala tidak masuk akal dalam menjelmakan penerimaan Islam secara aman, meluas dan menyeluruh dalam masa yang singkat.

Setelah kemasukan agama Islam di kepulauan ini, tamadun dan perkembangan amalan ilmu mulai meluas, tiada lagi jurang antara pemerintah dan rakyat bahkan kesan Islam dalam pembangunan kebudayaan mulai menyerlah. Unsur-unsur haiwan mulai pupus daripada kesenian masyarakat Melayu dan digantikan dengan kemasukan unsur-unsur alam yang asli dan corak geometri. Pengenalan tulisan Jawi mempercepatkan kefahaman dalam ilmu-ilmu Islam dan penguasaan Al-Quran yang mutlak.

Islam mendorong kepada pembinaan identiti dan ideologi senibina Melayu yang tersendiri

Satu juga perkara yang jelas, penerimaan dan penyatuan masyarakat Melayu mulai berkesan, maka orang bukan Melayu yang memeluk Islam mulai dilabelkan dengan Masuk Melayu, bukti bahawa sempadan pendefinisian kebangsaan yang merujuk kepada ras, warna kulit dan keturunan mulai runtuh dan membentuk pembangunan masyarakat Melayu moden hari ini yang mana mempunyai pelbagai susur-galur keturunan. Ini juga tanda bahawa sifat perkauman dan sikap berpuak-puak dalam masyarakat Melayu mulai ditinggalkan dan penerimaan kepada ideologi dan identiti di bawah naungan persaudaraan dan ummah yang sama mulai menjadi darah daging.

Kini, dengan pembangunan dan zaman yang semakin ke penghujungnya, masyarakat Melayu mulai dilihat kembali ke zaman gelap mereka, dengan penerimaan unsur-unsur luar yang dilarang dalam norma masyarakat dan hukum agama, sehingga kepada pencabulan identiti, seperti kepupusan tulisan jawi dan identiti masyarakat yang berlandaskan Islam dalam kebudayaan, ideologi dan pendefinisian masyarakat Melayu mulai menyempit. Ada pihak yang mula menolak ras dan keturunan berbeza walaupun di bawah naungan agama yang sama atas dasar perkauman alasan tersendiri yang mana tidak jelas arah tuju mereka.

Berusahalah kita supaya dapat menjadi masyarakat yang sentiasa mendapat keredhaan Allah Taala dan sentiasa mengingati-Nya dalam susah atau senang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...