Sejak zaman-berzaman, seiring dengan kebangkitan tamadun Melayu Terengganu setelah menerima cahaya Islam dari pendakwah dan para pedagang, masjid menjadi pusat tumpuan aktiviti agama dan masyarakat setempat dan memainkan fungsi sebagai pusat pentadbiran.
Dengan perkembangan masyarakat, fungsi masjid secara beransur-ansur mula mengambil alih fungsi politik dan pensempadanan masyarakat dari kampung yang berbeza. Maka, sempadan kampung atau daerah dibahagikan dengan pengaruh masjid terhadap masyarakat sekitarnya. Ini bermakna, sekiranya penduduk di sesebuah rumah itu hadir ke masjid terdekat dan menjadi ahli jemaah, maka rumah penduduk berkenaan akan dianggap sebagai kawasan pengaruh masjid dan kampung berkenaan di mana masjid tersebut menjadi masjid utama.
Sekiranya penduduk yang tinggal di sempadan kampung yang berlainan, penilaian tentang milik kampung manakah penduduk berkenaan ditentukan oleh penduduk berkenaan yang hadir di antara masjid-masjid sekitarnya. Maka, ini telah mengetengahkan pendapat bahawa peranan ahli masjid atau jemaah yang menentukan politik dan sosial masyarakat tempatan. Bagi masyarakat Terengganu, contoh terbaik yang jelas kelihatan bahawa masjid membina sempadan politik masyarakat tempatan adalah di perkampungan tradisional di antara Pasir Panjang dan Pengadang Baru di Kuala Terengganu terutamanya Kampung Bukit Bayas, Kampung Seberang Baruh, Kampung Pak Bang, Kampung Panji, Kampung Gelugor Kedai dan Kampung Surau Panjang.
Masjid dan pengaruhnya dalam pensempadanan kampung tradisi Melayu Terengganu |
Kita renungkan buat masa sekarang, fungsi masjid mulai berkurangan, seiring dengan kurangnya jemaah masjid itu sendiri. Maka, tanpa kita sedar, bahawa kita yang 'membunuh' fungsi masjid secara perlahan-lahan. Kita perhatikan dengan teliti, peristiwa yang berlaku baru-baru ini di kawasan sekitar Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kampung Ladang, Kuala Terengganu.
Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu. [Sumber:: Mahani Mohamad | http://www.flicker.com/people/ummabdrahman/] |
Masjid ini telah dibina di atas tanah seluas 3.3 ekar di tepi Jalan Sultan Mahmud bersebelahan Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Tanah Perkuburan Ladang Tok Pelam. Tapak asal masjid ini merupakan dewan orang ramai.
Masjid ini dibina setelah menerima desakan dari penduduk sekitar gugusan perkampungan Ladang kerana Masjid Abidin atau Masjid Putih tidak dapat menampung pertambahan jemaah yang semakin bertambah. Masjid ini mulai digunakan pada 23 November 1984 dimulai dengan Solat Jumaat.
Masjid ini diimarahkan oleh penduduk setempat terutamanya penduduk Kampung Ladang Tok Pelam selama hampir 3 dekad yang berakhir dengan perobohan kampung berkenaan selepas Aidilfitri 2010. Kini, setelah penduduk ditempatkan di Pangsapuri Ladang Gemilang di Kampung Ladang Sekolah, nampaknya usaha untuk mengimarahkan masjid berkenaan nampaknya menjadi semakin sukar.
Kampung yang menjadikan Masjid Al-Muktafi Billah Shah sebagai pusat aktiviti. Kg Ladang Tok Pelam dan Kampung Mengabang telah pupus dari bumi Kuala Terengganu. |
Kedudukan flet dengan masjid yang agak jauh mengakibatkan masjid berkenaan mulai hilang jemaah. Maka, apa yang kita lihat, masjid ini mungkin kehilangan fungsi sebagai tanda aras pensempadanan politik masyarakat tempatan kerana kehilangan penduduk sekitar yang menjadikan masjid ini sebagai rujukan dan pusat aktiviti.
Seiring dengan kehilangan jemaah, fungsi dan pengaruh masjid juga akan berkurangan, maka masjid mungkin tidak lagi menjadi lambang pembangunan masyarakat Islam memandangkan umat Islam sendiri 'meninggalkan' masjid. Namun, dalam hal yang disentuh ini, fungsi Masjid Al-Muktafi Billah Shah juga mungkin akan berkurangan kerana jemaah dipaksa meninggalkan masjid mereka melalui petempatan semula penduduk.
Bermula dengan kehilangan kampung tradisi iaitu Kampung Ladang Tok Pelam yang dirobohkan [ Sila Rujuk artikel Pengakhiran Hayat Tanah Wakaf Tok Pelam dan Sudah Dipastikan, Terhapus Jua Tanah Tok Pelam untuk maklumat lanjut ], budaya masyarakat Melayu yang bertunjangkan syariat juga hilang dengan robohnya institusi masyarakat yang roboh bersama dengan kampung berkenaan. Tiada lagi gotong-royong, mungkin adat berziarah dan majlis mengibarkan panji syahadah serta kenduri kesyukuran Aidilfitri yang dilaksanakan dari Tabung Derma Tok Pelam juga akan pupus, seterusnya menyebabkan fungsi masjid yang menjadi pusat aktiviti juga turut pupus akibat pupusnya jemaah masjid berkenaan.
Wallahu Alam.
No comments:
Post a Comment