Salam sejahtera kepadamu wahai Nabi Muhammad dan juga rahmat serta berkat-Nya, Salam sejahtera kepada kami dan sekalian hamba Allah yang soleh

Kempen Sosial A3manulna3m

Kempen Sosial A3manulna3m

Friday, February 11, 2011

Bidong, Pulau Yang Ternoda

Lokasi Pulau Bidong di Gugusan Kepulauan Terengganu

Pulau Bidong merupakan sebuah pulau yang terletak di timur laut Negeri Terengganu Darul Iman, berjiran dengan Pulau Redang di sebelah selatan. Namun, berbeza dengan Pulau Redang, Pulau Bidong merupakan pulau yang ternoda, sepi dan sunyi, hancur berkecai setelah dihancurkan dan diratah oleh Orang Hanyut Vietnam dari Mei 1975 hingga November 1991. Kini, tatkala Pulau Redang rancak dengan pembangunan dan menjadi tumpuan dunia, Pulau Bidong menyepi dan tersisih.

Pulau Bidong pada mulanya merupakan tempat persinggahan nelayan untuk mendapatkan bekalan air dan berlindung dari angin monsun. Pulau ini terletak di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kuala Terengganu. Pulau ini pada mulanya amat indah dengan flora dan fauna sama seperti jirannya Pulau Redang. Namun, setelah kejatuhan Kerajaan Demokratik Vietnam Selatan kepada Kerajaan Komunis Vietnam Utara pada Mei 1975, Laut China Selatan telah dibanjiri oleh pelarian Vietnam.

Pada mulanya, Thailand menjadi lokasi pertama Orang Hanyut Vietnam namun setelah mendapat layanan kurang memuaskan, pantai Terengganu mula menjadi lokasi untuk mereka mendarat. Pendaratan pertama adalah di Pulau Perhentian pada Mei 1975 dan sehingga penghujung tahun 1975, seramai 1400 Orang Hanyut Vietnam direkodkan telah mendarat di pantai Terengganu Darul Iman ini.

1976 dan 1977 merekodkan pendaratan yang semakin berlipat kali ganda menyebabkan badan-badan yang ada tidak mampu mengendalikan secara sistematik kerana lokasi pendaratan serta penempatan yang berterabur.

Justeru, kerajaan pusat menyedari perlunya sebuah pusat penempatan khas untuk memudahkan kawalan dan penyaluran bantuan. Oleh itu, Pulau Bidong menjadi mangsa melalui penswastaan P.U(A)227 pada 1 Ogos 1978, Pulau Bidong diisytiharkan sebagai Pusat Penempatan Orang Hanyut Vietnam dan sekaligus menjadi kawasan larangan. Berita ini mengejutkan rakyat Terengganu terutamanya para nelayan. Sejak itu juga, Pulau Bidong mulai ternoda. Tanah rata seluas 12 hektar mulai diratah atas alasan kemudahan asas. Tidak cukup dengan itu, tanah bukit juga mula diratah. Menjelas Oktober 1978, seramai 60 248 Orang Hanyut Vietnam ditempatkan di pulau ini.

Kemusnahan berterusan di Pulau Bidong memaksa beberapa jawatankuasa dibentuk untuk memindahkan Orang Hanyut Vietnam ke negara lain, dan akhirnya pada 30 November 1991, hampir 16 tahun selepas Pulau Bidong dinodai, Pulau Bidong diserahkan kembali kepada pangkuan Terengganu oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Encik Ghafar Baba kepada YAB Menteri Besar Terengganu, Dato' Sri Amar Diraja Tan Sri Haji Wan Mokhtar Ahmad.

Pulau Bidong terus sepi, meratapi luka lama akibat dinodai demi kemanusiaan sejagat.

Wallahu Alam

[ Sumber: Buku Poket Pameran Memorial Bidong di Kompleks Muzium Negeri Terengganu, September - November 2002 ]

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...