Sejak zaman-berzaman, seiring dengan kebangkitan tamadun Melayu Terengganu setelah menerima cahaya Islam dari pendakwah dan para pedagang, masjid menjadi pusat tumpuan aktiviti agama dan masyarakat setempat dan memainkan fungsi sebagai pusat pentadbiran.
Dengan perkembangan masyarakat, fungsi masjid secara beransur-ansur mula mengambil alih fungsi politik dan pensempadanan masyarakat dari kampung yang berbeza. Maka, sempadan kampung atau daerah dibahagikan dengan pengaruh masjid terhadap masyarakat sekitarnya. Ini bermakna, sekiranya penduduk di sesebuah rumah itu hadir ke masjid terdekat dan menjadi ahli jemaah, maka rumah penduduk berkenaan akan dianggap sebagai kawasan pengaruh masjid dan kampung berkenaan di mana masjid tersebut menjadi masjid utama.