Tahukah anda mengenai deretan kedai di hadapan Tempat Letak Kereta Pasar Kedai Payang sudahpun diruntuhkan? Begitu cepat sekali semua yang dilakukan sehinggakan tiada sisa sedikitpun dalam masa 1 hari sahaja.
Kehilangan untuk selama-lamanya, deretan kedai yang menyimpan sejarah akhirnya menyembah bumi, ketika berita berkenaan disampaikan kepada salah seorang teman hamba, dengan sedihnya dia berkata dia sudah kehilangan sebahagian dari dirinya, kenangan keluarganya kerana dia masih lagi ingat semasa kecil, disitulah tempat mereka sekeluarga membeli belah untuk hari raya, membeli sepatu, buku sekolah dan juga tikar getah untuk rumah.
Ada beberapa kenalan sebaya merasa hairan, kenapa hamba mengetahui tentang sejarah berkenaan sedangkan hamba sendiri tidak sempat mengalami kenangan yang bersisa sejak 50 tahun yang lampau. Hamba sendiri tidak pernah melihat menara jam di persimpangan Pasar Kedai Payang tetapi hamba diberitahu melalui gambar lama dan cerita-cerita warga asli negeri Terengganu ini.
Celakalah pada mereka yang berniat jahat atas segala yang berlaku, musnahlah salah satu kedai kitab lama yang tertua di Terengganu, Alam Akademik atau lebih dikenali sebagai Kedai Pak Lah Yunnan, seperti mana yang dititipkan kepada hamba dari ayahnda hamba.
Tidak puaskah mereka dengan kemusnahan yang berlaku ke atas Istana Kolam apabila ia dimusnahkan semata-mata untuk memberi laluan kepada pembinaan pangsapuri Kolam sedangkan istana itu menjadi saksi kebangkitan rakyat Terengganu melalui Pemberontakan Tani yang dipimpin oleh Haji Abdul Rahman Limbong dan 12 Sahabat beliau yang syahid di Padang Kachong, Kuala Telemong? Istana inilah yang menjadi tempat perbicaraan beliau kerana tuduhan memberontak. Nampaknya, masih ada lagi sisa penjajah melekat pada otak anak muda kini.
Tahniah, peristiwa ini seolah-olah membenarkan istilah "Terengganu, Where Government Embarrasses Heritage".
Terengganu yang kita akan kenali 10 tahun akan datang akan berubah sepenuhnya, hilang budaya hidupnya, digantikan dengan replika warisan tiruan yang tidak mempunyai roh.
No comments:
Post a Comment