Salam sejahtera kepadamu wahai Nabi Muhammad dan juga rahmat serta berkat-Nya, Salam sejahtera kepada kami dan sekalian hamba Allah yang soleh

Kempen Sosial A3manulna3m

Kempen Sosial A3manulna3m

Wednesday, April 20, 2011

"Kuala Terengganu Bypass" - Penyelesaian radikal kepada sistem trafik.

Umum mengetahui bahawa Kuala Terengganu yang kini dikenali sebagai sebuah bandaraya telah mengalami beberapa perubahan mendadak seperti proses pengindahan kawasan awam, penyusutan perkampungan tradisional, pertambahan kawasan perniagaan dan juga pertambahan perumahan terancang. Namun, satu perkara yang semakin bertambah meruncing dan kritikal iaitu sistem aliran trafik.


Kebanyakan jalan yang wujud di sekitar Kuala Terengganu merupakan jalan yang wujud tidak kurang dari 50 tahun yang lampau, iaitu jalan pra-kemerdekaan yang menghubungkan kawasan perkampungan di sekitar pantai dan kawasan perkampungan di sekitar kawasan tanah pamah dan lereng bukit yang lebih dikenali oleh masyarakat Terengganu ketika itu sebagai kawasan 'darat'. Seiring dan perkembangan dan proses perbandaran, jalan yang bersimpang-siur ini mulai berkembang menjadi jalan-jalan utama.

Masalah kesesakan lalu-lintas di Kuala Terengganu semakin meruncing setelah berlakunya pertambahan penduduk secara mendadak sekitar akhir 90-an. Kini, masalah itu mencapai tahap maksimum dan kritikal ketika musim perayaan dan cuti sekolah, memandangkan laluan persekutuan F3 dan F14 yang merentasi Kuala Terengganu menghubungkan antara dua bandar utama di Pantai Timur, iaitu Kota Bharu dan Kuantan.

Namun, Kuantan dilihat telah melaksanakan penyelesaian kepada masalah trafik dengan menjajarkan dan menaiktaraf jalanraya di pinggir bandar untuk mengelakkan kesesakan dari kenderaan yang hanya melalui Kuantan untuk ke destinasi lain tanpa perlu menempuh kawasan perbandaran dan kawasan kesesakan di bandat berkenaan. Penjajaran aliran trafik itu dikenali sebagai "Kuantan Bypass" yang menghubungkan kawasan dari Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di pinggir barat Kuantan ke Sungai Ular di pinggir utara Kuantan. Kenderaan dari arah barat Kuantan tidak perlu melalui kawasan pusat bandar malah telah dilencongkan ke utara Kuantan menuju sempadan Pahang - Terengganu.


Lain pula dengan situasi di Kuala Terengganu. Rata-rata pengguna jalanraya dari arah Kota Bharu, Kuantan dan kawasan pedalaman Terengganu 'bertemu' pada lingkungan jaringan jalanraya sepanjang 2.7 kilometer iaitu sepanjang Jalan Kamaruddin dan Jalan Sultan Mohamad dan di situlah bermula kesesakan lalu lintas yang kritikal, merebak ke laluan keluar masuk pusat bandaraya dan kawasan pinggir bandaraya.



Kuala Terengganu memerlukan penyelesaian, dan penyelesaian yang nampaknya rasional dalam soal aliran trafik adalah sistem jaringan jalanraya pintasan, atau 'bypass' yang memberi pilihan kepada pengguna jalanraya agar tidak melalui kawasan perbandaran yang sedia ada sibuk.

Malahan, Kuala Terengganu juga memerlukan penyelesaian radikal dalam penyusunan sistem jalanraya, sama ada dari segi perancangan sistem jalan sehala malahan penyelesaian yang lebih maksimum seperti laluan bertingkat. Malahan, sistem penyusunan jalanraya di bandar besar lain boleh dijadikan panduan bagi Kuala Terengganu dalam mencipta dan membina persekitaran bandar yang lebih baik, tanpa pencemaran udara dan bunyi akibat kesesakan yang tidak terkawal.

Sama ada kerajaan atau rakyat, keduanya telah melonjakkan Kuala Terengganu dari sebuah bandar kecil kepada bandar besar pada masa ini dan mungkin konurbasi pada masa akan datang seperti mana yang dirancang oleh kerajaan negeri kini. Maka, penyelesaian dan kecekapan mencari penyelesaian dalam segala masalah yang timbul akibat lonjakan pembangunan ini hendaklah dilakukan dengan segera dan pantas, seperti mana tindakan pantas dalam mengisytiharkan Kuala Terengganu sebagai bandaraya warisan pesisir air. Jangan pula Kuala Terengganu ditertawakan kerana gelaran seperti sebuah bandaraya tetapi kualiti dan sistem bandaraya ini tidak menepati gelaran tersebut.

Wallahu Alam.

6 comments:

Pakcik Botak said...

baypass setakat ini sekiranya siap LPT 2 ...alternatif dari selatan trg ke utara/ kota bharu ialah melalui Bukit Kor, Marang, keluar di simpang empat,Bukit Payong..dari exit bukit payong ke exit di gumuroh.

itu cadangannya...suka baca artikal anda

Anonymous said...

setuju dgn pakcik botak,trafik
kuantan-KB-Kuantan akan divert ikut LPT, nnt siap simpang 4 jalan kuala berang-bukit payong-gemuruh, iAllah setel masalah. Anyway, sentiasalah riki route sebelum mulakan perjalanan, GPS ada, google maps ada. Jaringan jalan kat ganu byk....

-anang

A3manul Na3m | ايمان النعيم said...

terima kasih atas cadangan, namun, route yang dicadangkan melalui laluan lebuhraya dan ini menyebabkan pengguna terpaksa mengeluarkan kos untuk tol. sedangkan seperti kuantan bypass, tiada tol dikenakan....

mek selamah said...

no, no tol... dari exit Bukit Payong ke exit Gemuruh (and vice-versa) tiada tol... perjalanan lancar selancar-lancarnya...

A3manul Na3m | ايمان النعيم said...

owh, maafkan saya sekiranya silap maklumat memandangkan sumber dari saya menyatakan ada tol di susur keluar gemuruh/tepoh kerana melalui lebuhraya utama terutamanya di telemong interchange yang mempunyai susur ke lebuhraya pantai barat 2 dan ke susur keluar bukit payong. sekiranya tiada tol, laluan berkenaan boleh dijadikan bypass, cuma pihak berkenaan hendaklah mewar-warkan laluan berkenaan sebagai alternatif, bagi pengguna lebuhraya pantai timur nanti, mungkin tiada masalah, tetapi agak sukar bagi pengguna laluan F3, dan pengguna laluan F14. mungkin laluan berkenaan agak jauh memandangkan terpaksa ke persimpangan ke kenyir melalui susur keluar ke lebuhraya timur barat 2, tetapi ianya satu alternatif yang berkesan bagi mereka yang tidak gemar melalui kawasan separa bandar dan kawasan tepubina.... wallahualam... lagipun mereka yang mencadangkan bypass ini berharap supaya bypass ini juga boleh bertindak sebagai lingkaran luar bagi bandaraya KT sebagai salah satu jalan alternatif untuk ke kawasan sekitar pinggir KT. maka, bypass yang mempunyai ciri itu hendaklah dibina di kawasan pinggir bandaraya KT, bukannya ke arah lebuhraya...

Anonymous said...

stuju ngn a3manul na3m..bypass KT hndaklah dbina kwasan pggr bndat..bukannya ke arah lbuhraya..nnti bla lpt siap tetap kna byar tol kan?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...