Muqaddimah
Terengganu telahpun dibuktikan menjadi salah sebuah negeri awal yang mempunyai tamadun yang tersendiri yang bermula dari kerajaan purba Fo-Lo-An, bukti kedatangan islam melalui penemuan batu bersurat, hinggalah penubuhan kerajaan Kesultanan Melayu Terengganu pada 1708. Pelbagai kejayaan ketamadunan dicapai oleh masyarakat Terengganu sehinggakan budaya, bahasa dan pelbagai sudut ketamadunan Terengganu mencapai tahap keistimewaannya tersendiri.
Umum mengetahui bahawa Terengganu digelar dengan gelaran Darul Iman sejak zaman-berzaman. Dahulunya, Terengganu juga digelar dengan Darussalam kerana keamanan dan kemajuan dalam bidang material dan rohani yang seiring dengan zaman. Maka, banyaklah pengaruh Islam meresap ke dalam jati diri masyarakat Terengganu sehinggakan Abdullah Munsyi menyatakan bahawa penduduk Terengganu lebih fasih berbahasa Arab dan nahu bacaan Al-Quran masyarakat Terengganu lebih baik dari masyarakat negeri-negeri lain.
Kini, setelah beratus tahun berlalu, lebih kurang 700 tahun setelah batu bersurat diukir di Kampung Buluh, banyak kemusnahan identiti Terengganu berlaku. Yang jelas kelihatan kini, adalah penggantian masjid. Banyak masjid lama dirobohkan dan digantikan dengan masjid baru. Yang hairannya, sebilangan masyarakat jemaah masjid menyokong situasi ini tanpa sedar bahawa tidak semua situasi berkenaan adalah situasi yang baik.
Bab 1: Masjid Raja Chendering, Kuala Terengganu
Masjid yang berusia ratusan tahun ini dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid yang lebih besar dan cantik. AJK masjid menyokong penuh perobohan ini dengan memberi alasan bahawa jemaah di sekitarnya semakin meningkat. Namun, apa yang dikesalkan adalah nilai tradisi dan imej tamadun Islam Terengganu tercalar. Cuba kita fikirkan, jika masyarakat Turki boleh berbangga dengan Masjid Biru, masyarakat Indonesia boleh berbangga dengan Masjid Agung Demak dan masyarakat Mali boleh berbangga dengan Masjid Djenne yang jika difikirkan jauh lebih usang dari Masjid Raja Chendering ini, apa yang masyarakat Terengganu boleh banggakan?? Mana bangunan yang terbina dengan teknologi tamadun Terengganu yang berusia ratusan tahun. Walau bagaimanapun, tahniah kepada mereka yang menyokong kerana masjid tersebut telah diruntuhkan juga akhirnya.
Bab 2: Masjid Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu
Masjid yang dibina oleh penduduk kampung sejak zaman dahulu kala ini terkenal suatu ketika dahulu kerana bentuknya yang panjang. Mengikut kata penduduk, keadaan masjid tersebut adalah kerana setiap pendakwah yang ingin mengajar perlu membina ruangan mengajar dan menyambung binaan masjid tersebut. Akhirnya, muncullah bentuk Masjid Surau Panjang yang unik tersebut. Tidak mahu mengulas panjang, akhirnya pada tahun 2006, masjid tersebut diruntuhkan dan diganti dengan masjid binaan konkrit yang kelihatan sama dengan masjid-masjid lain, tiada lagi keunikan dan warisan serta satu-satunya wasiat masyarakat kampung tersebut yang telah meninggal dunia. Putuslah amalan dan pahala mereka bila binaan lama tersebut dirobohkan, termasuklah mimbar masjid asal.
Bab 3: Masjid Raja Bukit Besar, Kuala Terengganu
Masjid ini pernah digemparkan kerana kehadiran sebatang pokok yang dikatakan "menangis". Projek merobohkan masjid ini mendapat tentangan penduduk di sekitarnya dengan alasan mereka bersetuju jika masjid tersebut dibaikpulih dan diperbesarkan, bukan dengan merobohkannya. Namun, masjid tersebut telah dirobohkan dan pembinaan masjid baru telah dilaksanakan walaupun usia masjid tersebut hampir mencapai 100 tahun. Maka, amalan datuk dan nenek moyang kita yang menyumbang tenaga dan bahan ke arah pembinaan masjid ini terputus. Nantikan di akhirat bila mereka bertanya mengapa kita memutuskan pahala mereka.
Bab 4: Masjid Kampung Gelugor Raja, Kuala Terengganu
Usia masjid ini belum dipastikan, namun masjid ini memang salah sebuah masjid lama memandangan bentuk masjid tersebut masih mempunyai bumbung Rumah Bujang, iaitu rekaan rumah tradisional Melayu Terengganu. Tahniah kepada penduduk kampung ini kerana mengorbankan satu lagi warisan Melayu kerana apa yang diketahui, penduduk tidak memberikan respon apabila cadangan merobohkannya dikeutarakan. Maka, sedihlah penghuni di tanah perkuburan di kampung tersebut kerana hasil usaha mereka ratusan tahun dahulu dimusnahkan begitu sahaja atas nama pembangunan.Akhir kata, kita sering berbangga dengan tamadun orang lain dan senibina orang lain sedangkan kita menyembelih identiti dan budaya kita sendiri... Layakkah kita bergelar bangsa Melayu?? Mereka yang menolak budaya adalah mereka yang bodoh dan inilah yang berlaku hari ini.... Inilah sebilangan daripada mereka yang bodoh.
No comments:
Post a Comment