Salam sejahtera kepadamu wahai Nabi Muhammad dan juga rahmat serta berkat-Nya, Salam sejahtera kepada kami dan sekalian hamba Allah yang soleh

Kempen Sosial A3manulna3m

Kempen Sosial A3manulna3m

Sunday, January 9, 2011

Ragam Bahasa Di Hulu Terengganu


Seperti kebanyakan daerah di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu, keadaan linguistik di Hulu Terengganu jarang diselidiki. Meskipun daerah ini sudah lama didiami oleh orang Melayu, boleh dikatakan ragam bahasanya diabaikan oleh sarjana linguistik. Pengabaian ini cukup menghairankan seandainya kita memandang status Hulu Terengganu sebagai pusat budaya dan agama pada masa lampau.



Pada abad yang kedua belas, kerajaan Foloan, yang dianggap berpusat di Hulu Terengganu menjadi pusat pemujaan Buddha. Malah, dirakam baha setiap tahun raja Srivijaya melawat Foloan untuk menghormati patung Buddha di sana. Setelah kegemilangan pengaruh agama itu mulai pudar, kerajaan di Hulu Terengganulah yang mengisytiharkan agama Islam sebagai agama rasmi di daerah itu. Piagam ini diabadikan di dalam sebuah prasasti yang diukir dengan ejaan Arab. Batu bertulis ini mengandungi tulisan Bahasa Melayu yang tertua di Semenanjung Tanah Melayu. Penemuan batu ini yang bertarikh 1303 membuktikan kedudukan Hulu Terengganu sebagai pusat budaya dan agama pada zaman itu.

Ragam bahasa di Hulu Terengganu cukup unik. Wujudnya persamaan kosa kata antara ragam bahasa di Parit, Perak dan bahasa di Hulu Terengganu memungkinkan hubungan purba antara Hulu Terengganu dan Perak. Sejarah perpindahan dan perpindahan orang Melayu di Semenanjung perlu dikaji.

Sudah lama diteliti bahawa pembahagian politik sempadan negeri dan daerah bukan bermakna pembahagian dialek dan linguistik. Maka, kawasan pengaruh dialek Hulu Terengganu secara ringkasnya dinamakan sebagai Lembangan Sungai Terengganu, bermula dari Kuala Telemong. Namun, kawasan seperti pekan Ajil dan Penghulu Diman tidak termasuk dalam kawasan pengaruh dialek ini kerana kawasannya yang berada di dalam Lembangan Sungai Marang serta kedudukannya yang mempunyai pengaruh luar mengakibatkan unsur-unsur asli sukar dikenalpasti.

Terdapat juga banyak kampung-kampung yang sudah pupus dari Hulu Terengganu, seperti kampung Melor, Belimbing dan Terenggan yang pupus semasa darurat akibat kecenderungan untuk berpindah ke kawasan berhampiran jalanraya. Akibatnya kini, sudah tiada kampung yang wujud setelah penempatan di Kampung Jenagor.

Sebutan dialek Hulu Terengganu yang hampir kepada sebutan Bahasa Melayu Induk dan Bahasa Austronesian Kuno memungkinkan teori bahawa dialek ini merupakan dialek yang paling asli dan paling tua di Semenanjung Tanah Melayu. Bentuk kuno pada dialek Hulu Terengganu juga wujud pada pantai Borneo Utara, Kepulauan Maluku, Pergunungan Sumatera Selatan dan Gugusan Kepulauan Thailand. Ini menyangkal pendapat bahawa unsur kuno dialek Hulu Terengganu merupakan unsur pinjaman dari kawasan tersebut memandangkan kedudukannya yang jauh dari Hulu Terengganu.

Dialek Hulu Terengganu perlu diberi perhatian dan usaha untuk memelihara keaslian dan penuturnya, memandangkan terdapat bukti-bukti yang menampilkan bahasa ini sebagai bahasa yang tua dan menarik.

[Sumber: Dialek Hulu Terengganu, James T Collins
Monograf Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia]

3 comments:

Naisophon said...

Ada juga hipoteses, yang kata dialek hulu terengganu tu adalah dialek perak kuno. Orang hulu tganu sendiri orang perak, yang berpindah merentasi banjaran titiwangsa

A3manul Na3m | ايمان النعيم said...

yup, memang ada hipotesis itu, tapi memerlukan kajian mendalam. dan perlu segera memandangkan unsur asli dialek ini hampir pupus akibat kemasukan dialek Pantai Terengganu dan dialek Marang ke dalam penutur asli dan penduduk hulu terengganu

mali said...

ce tinguk sining, serupe dok dengang bahase uraung uluk tranung..?
http://gonyohje.wordpress.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...