Sudah lama rasanya tidak menerangkan tentang cara hidup masyarakat tradisional negeri Terengganu Darul Iman. Sempena dengan Nisfu Syaaban, maka artikel ini akan menyingkap kembali cara hidup masyarakat Terengganu ketika menjelangnya Nisfu Syaaban.
Nisfu Syaaban dianggap sebagai salah sebuah hari penting dalam kehidupan masyarakat Terengganu. Dengan cerita lisan zaman berzaman tentang 'tutup buku amalan lama' dan 'buka buku amalan baru', maka Nisfu Syaaban menjadi hari yang disambut dalam masyarakat Terengganu.
Walaupun sesetengah ulama' melarang tentang amalan khas untuk Nisfu Syaaban yang dianggap sebagai bid'ah kerana tidak dilakukan pada hayat Rasulullah SAW dan para sahabat, namun artikel ini tidaklah menyentuh tentang soal berkenaan kerana hamba bukanlah orang yang arif dalam bidang berkenaan, haruslah dirujuk kepada mereka yang lebih arif. Namun artikel ini hanya menceritakan mengenai cara hidup masyarakat negeri Terengganu ketika Nisfu Syaaban.
Pada siang hari 14 Syaaban, masyarakat akan bergotong-royong membersihkan kubur dan melakukan adat berziarah terutamanya sesudah solat jemaah Asar sebagai persediaan menjelangnya Ramadhan dan membersihkan perkuburan serta kawasan sekitar surau atau masjid. Aktiviti ini dilakukan secara beramai-ramai terutamanya di kawasan perkuburan besar atau bersejarah seperti Tanah Perkuburan Syeikh Ibrahim di Kuala Terengganu. Ahli keluarga akan menziarahi dan membersihkan kubur-kubur saudara-mara mereka dan menyertai jemaah masjid melakukan gotong-royong.
Lokasi Tanah Perkuburan Syeikh Ibrahim. |
Pada malamnya, akan diadakan majlis tahlil dan bacaan Surah Yassin kadangkala disertai dengan majlis selawat dengan niat dan doa agar diberikan kesejahteraan dalam kehidupan dunia dan akhirat. Malam 15 Syaaban merupakan malam cuti umum tidak rasmi, apabila segala urusan perniagaan dan aktiviti am dihentikan dan masyarakat hanya duduk di rumah dengan memanjangkan wirid serta bangun bertahajjud.
Bermula 15 Syaaban hingga ambang Ramadhan, suasana sambutan Ramadhan mulai bermula dalam masyarakat Terengganu. Mereka mula saling ingat-mengingati tentang Ramadhan yang akan tiba dan mula bersedia untuk menyambut ketibaan bulan berkenaan. Bahkan, segala keperluan Ramadhan mulai disediakan setelah Nisfu Syaaban. Menurut mereka, Nisfu Syaaban seolah-olah sebagai petanda bahawa Ramadhan sudah hampir dengan mereka.
Wallahu Alam
No comments:
Post a Comment