Pada hakikatnya ciri utama pemikiran tauhid tradisional di Nusantara khususnya di Semenanjung Tanah Melayu adalah mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Dari sudut sejarah Islam Terengganu, mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah menjadi pegangan utama di kalangan ulama-ulama tersohor dan masyarakat tempatan Terengganu Darul Iman.
Terengganu sejak dari awal lagi telah menerima pengaruh Islam dari Champa, Khmer , China , India malahan dari Arab secara terus. Namun, dari sudut bukti fizikal, pengaruh Arablah yang paling menonjol kerana terdapat bukti-bukti kukuh yang kekal hingga hari ini.
Sebagai contoh, penempatan Arab di sekitar Chabang Tiga sejak berkurun dahulu telah menjadi bukti kepada pengaruh Arab yang menonjol di Terengganu. Ulama-ulama seperti Syed Muhammad bin Zainal Abidin al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar dan Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad yang lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh merupakan keturunan Arab yang diberi gelaran Al-Idrus yang mendiami kawasan sekitar Chabang Tiga, Kg Paloh, Kg Tok Ku dan sekitar Losong seperti Losong Haji Mat Shafie.
Kedudukan petempatan Arab Terengganu |
Terengganu merupakan antara negeri pertama yang menerima syiar Islam pada tahun 1303 Masihi dan mungkin lebih awal lagi menurut beberapa pendapat sejarahwan. Ini kerana, tulisan Jawi yang terpahat pada Batu Bersurat Kuala Berang yang bertarikh 1303 Masihi mungkin perlu mengalami transformasi dari tulisan Arab sebelum dapat digunakan sebagai tulisan rasmi masyarakat Melayu. Transformasi tersebut dipercayai berlaku dalam tempoh 300 tahun dan teori ini memperkuatkan pendapat bahawa Islam telah subur berkembang di negeri Terengganu sejak 1000 Masihi lagi, lebih awal dari mana-mana tempat di Semenanjung Tanah Melayu.
Batu Bersurat, inskripsi terawal Jawi-Islam di Nusantara |
Kesan daripada itu, agama Islam telah menjadi satu elemen dalam budaya masyarakat Terengganu dan merubah falsafah masyarakat Terengganu daripada pengaruh Hindu kepada pengaruh Islam sepenuhnya sehingga hampir tiada pengaruh keagamaan Hindu dalam adat istiadat Melayu Terengganu.
Di kampung-kampung tradisional Melayu Terengganu di mana rata-rata penduduknya masih lagi mengamalkan amalan budaya Melayu, banyak amalan dan adat-adat yang telah disesuaikan dengan Islam yang menjadi amalan hingga ke hari ini. Namun, disebabkan oleh arus pemodenan, amalan dan adat Melayu tradisi kini kian dilupakan sedangkan amalan dan adat inilah yang menyatupadukan penduduk kampung dan mengeratkan silaturrahim. Antara budaya-budaya yang muncul kesan agama Islam dalam masyarakat ialah:
- Amalan Selawat Burdah
- Ratib Hadad
- Adat Berziarah (Menaikkan Panji Syahadah Semasa Aidilfitri)
Kampung tradisi Terengganu mewarisi kebudayaan Islam yang dibina |
Mengikut sejarah, Terengganu pernah digelar dengan dua gelaran iaitu Dar as-Sallam dan Dar al-Iman. Namun, gelaran kedua telah kekal hingga ke hari ini, membuktikan bahawa Terengganu pernah menjadi pusat pengajian Islam di Nusantara suatu ketika dahulu.
Sebagai negeri terawal yang menerima Islam di alam Melayu, Terengganu telah menempa sejarah sebagai sebuah pusat pendidikan dan penyebaran Islam pada pertengahan abad ke-19M dan awal abad ke-20M. Negeri Terengganu ketika itu dipenuhi oleh alim ulama dan masyarakat Islam Terengganu begitu khusyuk melaksanakan ibadah solat dan zikir. Malah, penduduk negeri Terengganu lebih tinggi nisbah keagamaannya berbanding dengan penduduk negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu.
Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi (Munsyi Abdullah) yang melawat Terengganu antara Mac hingga April 1838 pernah mencatatkan bukti yang menunjukkan bahawa betapa pesatnya perkembangan ilmu di Terengganu pada masa itu. Menurutnya, orang-orang di Terengganu lebih tinggi kesedaran ilmu agama jika dibandingkan dengan Pahang dan Kelantan yang dilawatinya ketika itu. Pelajar-pelajar Terengganu lebih mahir menggunakan kitab-kitab Arab jika dibandingkan dengan kitab-kitab Jawi dan tulisan Jawi mereka lebih elok dari negeri lain. Bacaan Al-Quran penduduk Terengganu lebih elok dan masyhur di luar Terengganu.
No comments:
Post a Comment